Home Koronavirus Lebih setengah juta kanak-kanak sudah divaksin

Lebih setengah juta kanak-kanak sudah divaksin

0
Lebih setengah juta kanak-kanak sudah divaksin

NIBONG TEBAL – Seramai 564,220 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sehingga Isnin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu merupakan 15.9 peratus daripada empat juta jumlah keseluruhan kanak-kanak di negara ini.

Menurutnya, sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah mencapai sehingga 70 peratus daripada empat juta kanak-kanak dalam tempoh dua bulan daripada program ini bermula.

“Sejak semalam (Isnin), kita sudah mencapai 50,000 pemberian suntikan dalam sehari. KKM berharap sasaran untuk mencapai 80 peratus iaitu 3.6 juta kanak-kanak divaksin akan tercapai.

“Sehingga semalam (Isnin) juga, daripada lebih setengah juta kanak-kanak yang diberikan vaksin dos pertama, hanya satu kes dilaporkan mengalami simptom serius manakala 57 laporan lagi hanya mengalami gejala ringan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau situasi PICKids Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Saujana Indah di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai 57 laporan yang diterima daripada aplikasi MySejahtera berhubung Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI), Dr Noor Azmi berkata, ia hanya melibatkan gejala ringan antaranya demam, pening, lenguh, sakit di tempat cucuk dan bengkak.

“Gejala yang ditunjukkan adalah biasa yang tidak membimbangkan kerana ia akan dirasai dalam tempoh sehari sehingga dua hari sahaja.

“Sementara satu kes yang ditakrifkan sebagai serius pula, kanak-kanak tersebut mengalami asma. Semakan mendapati, kanak-kanak itu memang mengidap penyakit asma sebelum ini dan dikatakan diserang asma selepas divaksin.

“Pihak hospital telah memberi rawatan dan kanak-kanak itu sembuh lalu dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya lagi, mengikut data yang diterima, Sarawak adalah negeri tertinggi dalam pemberian vaksin kepada kanak-kanak.

“Sarawak, Melaka, Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang adalah negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi dalam pemberian vaksin kanak-kanak iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

“Sementara itu, tiga negeri mencatatkan di bawah 10 peratus iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah. Dari segi usia, 40.3 peratus yang berusia sembilan tahun dan 43.2 peratus berusia 10 tahun telah disuntik sejak hari pertama PICKids dilaksanakan,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) merekodkan antara 31 hingga 74 peratus pemberian vaksin untuk kanak-kanak berbanding sekolah kebangsaan (SK) iaitu antara 5.9 hingga 21.9 peratus.

Tambahnya, data menunjukkan sehingga tahun lalu, seramai 278,000 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dan 63 daripadanya meninggal dunia.

“Kita berharap ibu bapa sedar mengenai kepentingan pengambilan suntikan vaksin memandangkan peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Omicron.

“Ibu bapa diminta tidak mendengar berita palsu sehingga takut untuk membawa anak-anak menerima vaksin. Jangan dengar berita palsu daripada mereka yang bukan pakar dan tidak pasti. Apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada mengalami jangkitan teruk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here