Home Koronavirus Lebih sejuta vaksin Covid-19 dijangka tiba 29 Mac ini

Lebih sejuta vaksin Covid-19 dijangka tiba 29 Mac ini

0
Lebih sejuta vaksin Covid-19 dijangka tiba 29 Mac ini

SHAH ALAM – Penghantaran kesemua 1,000,350 dos vaksin Pfizer-BioNTech dijangka tiba di Malaysia pada 29 Mac ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksin tersebut akan tiba pada setiap minggu dan bekalan pertama sebanyak 312,390 dos akan tiba di negara ini pada Ahad.

“Kerajaan Malaysia telah memesan sebanyak 32 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech. Penghantaran pertama akan tiba esok (Ahad), manakala penghantaran kedua akan tiba pada 1 Mac diikuti seterusnya pada 8 Mac, 15 Mac dan 22 Mac.

“Jadi menjelang 29 Mac, kita akan mempunyai kesemua 1,000,350 dos vaksin Pfizer-BioNTech,” katanya seperti dilaporkan portal CodeBlue pada Sabtu.

Khairy mendedahkan perkara itu pada sebuah program yang membincangkan isu vaksin Covid-19 yang diadakan di platform audio Clubhouse pada Jumaat.

Sementara itu, Khairy yang mengetuai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, seramai 300,000 petugas barisan hadapan, antaranya membabitkan kakitangan pengurusan dan profesional di sektor kesihatan termasuk pegawai perubatan, ahli farmasi, pegawai sains, jururawat serta paramedik akan diberikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan pada 26 Februari ini.

Bagi sektor kesihatan pula, katanya, ia cukup komprehensif dan merangkumi sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta.

Menurutnya, suntikan vaksin fasa pertama juga akan diberikan kepada kira-kira 200,000 petugas barisan hadapan bukan daripada sektor kesihatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya juga menerima permintaan untuk memasukkan guru sekolah, pendakwah agama serta pekerja di sektor pengangkutan seperti kru kabin, juruterbang dan kru perkapalan dalam kumpulan pertama yang menerima vaksin.

“Ketika ini, kita mengalami masalah kekurangan bekalan vaksin. Jika mendapat keizinan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meluluskan beberapa lagi vaksin lain yang akan datang seperti Sinovac dan Sputnik, mungkin lebih ramai lagi dapat dimasukkan dalam senarai perkhidmatan utama untuk menerima vaksin,” katanya kepada CodeBlue.

Tegas beliau, pihaknya juga akan membuat penilaian risiko ke atas semua kelompok terbabit bagi melihat sejauh mana risiko pendedahan jangkitan Covid-19 kepada mereka ketika menjalankan tugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here