Home Koronavirus Lebih banyak PPV dibuka, percepat vaksinasi di Johor

Lebih banyak PPV dibuka, percepat vaksinasi di Johor

0
Lebih banyak PPV dibuka, percepat vaksinasi di Johor

ISKANDAR PUTERI – Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan proses vaksinasi rakyat di negeri ini terus berjalan lancar termasuk pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kini terdapat 241 PPV pelbagai jenis di negeri ini berbanding hanya 14 pada Fasa Pertama PICK.

“Sebaik sahaja Fasa Kedua PICK bermula, PPV Mega mula beroperasi namun dengan bilangan penduduk yang tinggi berlaku kelewatan pemberian vaksin penerima.

“Apatah lagi dengan pengagihan vaksin secara mingguan tidak sekata menyebabkan terdapat PPV Awam yang lebih rendah kapasiti ditutup sementara bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PPV Mega yang lebih lancar dan berterusan.

“Bagaimanapun, masalah pemberian vaksin yang perlahan di Johor kini diatasi dengan pembukaan sebanyak 241 PPV termasuk 15 PPV Mega dan Integrasi, 10 PPV Industri selain 23 PPV Awam, 10 PPV Bergerak, tujuh PPV Khas hospital kerajaan, 156 PPV klinik swasta dan 20 PPV hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Dr S Ramakrishnan (DAP-Bekok) berhubung pelaksanaan vaksinasi yang perlahan di negeri ini pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini pada Isnin.

Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, penutupan sementara beberapa PPV di Johor sebelum ini tidak menjejaskan janji temu vaksinasi penduduk di PPV yang berkaitan.

Bagaimanapun katanya, pengagihan vaksin yang lebih banyak serta jadual lebih tepat menyaksikan tiada lagi keperluan PPV ditutup di negeri ini.

“Petugas kesihatan di Johor turut mengambil peluang mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini dengan menyediakan perkhidmatan bergerak melalui program ‘outreach’ di kawasan pedalaman dan kampung yang jauh dari PPV,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here