Home Koronavirus Lebih 95 peratus ahli Parlimen lengkap dua dos vaksin

Lebih 95 peratus ahli Parlimen lengkap dua dos vaksin

0
Lebih 95 peratus ahli Parlimen lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR – Lebih 95 peratus ahli Parlimen telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, manakala 35 yang lain sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selain itu, empat ahli Parlimen belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu, bagaimanapun mereka tetap dibenarkan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

“Semua ahli Parlimen dibenarkan datang ke Dewan walaupun tidak divaksin tetapi kami menasihatkan mereka yang tidak divaksin ini berhati-hati, kerana kita tidak boleh menahan mereka daripada menunaikan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sesi sidang akhbar secara maya bagi memperincikan persiapan Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin.

Azhar berkata, sebelum ini beliau mengadakan perbincangan dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersetuju supaya semua petugas Parlimen divaksinasi dan setakat ini 90 peratus petugas Parlimen telah lengkap dua dos suntikan.

Mengulas mengenai persiapan persidangan itu, Azhar berkata, pihak Parlimen menetapkan ‘house rule’ antaranya memastikan setiap individu yang datang ke Parlimen termasuk pekerja kontraktor, kakitangan kementerian dan pegawai pengiring menteri telah divaksin terlebih dahulu.

“Kami akan periksa di luar sebelum mereka dibenarkan masuk…kalau tidak divaksinasi, kami akan halang daripada memasuki Parlimen,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan juga, Azhar berkata, setiap individu seperti ahli Parlimen, pegawai bertugas, kakitangan Parlimen, petugas media, pekerja kontraktor, pemandu dan pengawal keselamatan peribadi perlu menjalani ujian saringan.

Seramai 1,008 orang menjalani ujian saringan dua hari lepas manakala kesemua Ahli Parlimen disaring pada Jumaat.

Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

Sementara itu, Azhar dalam kenyataan memaklumkan seramai 72 pengamal media dibenarkan hadir di bangunan Parlimen dan kehadiran yang terhad adalah sebagai langkah membendung dan mengurangkan risiko penularan Covid-19 semasa sidang khas itu.

Selain itu, Parlimen turut menambah baik persidangan dengan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

“Sidang media dan temu bual secara maya ini akan dapat memberi peluang kepada semua pengamal media yang tidak dapat hadir secara fizikal di bangunan Parlimen untuk mengambil bahagian pada semua sidang media ataupun temu bual yang mungkin diadakan oleh mana-mana ahli Parlimen ketika sidang khas diadakan,” katanya.

Bagi tujuan itu, Azhar berkata, Parlimen akan menyediakan satu bilik khusus yang menempatkan dua komputer berserta kelengkapan audio visual dengan pautan Zoom khas dan pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen jika ingin mengadakan sesi interaktif bersama ahli Dewan Rakyat.

Selain itu, Azhar berkata, liputan sidang media secara langsung melalui YouTube Live Stream di pusat media pada kali ini akan melalui pembaharuan yang membolehkan wartawan yang berada di luar bangunan Parlimen turut serta secara maya dengan capaian aplikasi Zoom.

Sementara itu, semua gambar penting semasa persidangan akan dirakam oleh jurugambar rasmi Parlimen bersama jurugambar Jabatan Penerangan Malaysia.

“Saya harap pendekatan pengurusan media yang baharu ini dapat membantu mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 khususnya dalam kalangan pengamal media di Parlimen Malaysia,” katanya.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here