KUALA LUMPUR – Jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebanyak 5,867,497 setakat tengah malam Rabu adalah sangat baik memandangkan negara masih berada pada Fasa 1 program itu.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, secara purata 200,000 hingga 300,000 individu mendaftar untuk program imunisasi setiap hari dan yakin angka itu akan terus meningkat apabila keseluruhan jentera pendaftaran digerakkan.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengetuai sesi libat urus dengan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menggalakkan pendaftaran dibuat.
“Komunikasi juga sedang dipertingkatkan supaya lebih banyak maklumat dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara dalam talian pada Khamis.
Beliau berkata, buat masa ini masih terdapat jurang yang jelas antara jumlah pendaftaran mengikut negeri apabila negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang masih menunjukkan kadar pendaftaran yang sangat rendah berbanding negeri-negeri lain.
Ahmad Amzad berkata, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menolak vaksin sebaliknya masih ramai mengambil sikap tunggu dan lihat kerana masih kurang yakin dengan keselamatan dan kestabilan vaksin.
“Orang ramai (ingin) melihat realiti sebenar, apabila lebih daripada 367,000 orang pada Fasa 1 telah menerima suntikan dan semalam (Rabu) suntikan kedua telah pun bermula, tiada insiden alahan teruk dan sebagainya, rakyat akan menjadi bertambah yakin dan lebih ramai akan mendaftar,” katanya.
Selain itu, antara inovasi kementerian untuk memudahkan pendaftaran ialah menaik taraf aplikasi MySejahtera supaya orang ramai boleh mendaftar tanggungan mereka menerusi aplikasi itu menjelang Fasa 2 program itu bulan depan.
Beliau berkata, program itu yang dilancarkan 24 Februari lepas bermatlamat untuk melindungi masyarakat umum termasuk golongan yang tidak boleh menerima vaksin melalui pembentukan imuniti kelompok dan kerajaan menyasarkan 80 peratus penduduk negara ini diberi vaksin dalam tempoh setahun.
“Apabila kita telah capai imuniti kelompok ini, Malaysia akan berada di landasan untuk membuka kembali ekonomi dan rakyat kembali hidup seperti biasa,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai untuk memainkan peranan mereka menjayakan program imunisasi itu dengan menyebarkan maklumat yang benar dan sahih serta membantu keluarga serta masyarakat lain untuk mendaftar. – Bernama