KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Sebanyak 22,409,335 atau 95.7 peratus kadar populasi dewasa di negara ini sudah lengkap dos vaksinasi Covid-19 setakat malam Rabu, menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow.
Dalam pada itu, sejumlah 97.8 peratus atau 22,891,080 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sejumlah 114,573 dos suntikan vaksin diberikan pada Rabu melibatkan 42,306 suntikan dos lengkap; 8,185 menerima dos pertama dan 64,082 pula menerima suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 50,420,916.
Setakat Rabu juga, sebanyak 2,197,961 atau 69.8 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap vaksin manakala 83.3 peratus atau 2,622,306 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak pula kini sebanyak 471,689. – Bernama