KUALA LUMPUR – Sebanyak 22,318,132 individu atau 95.3 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow, sejumlah 22,875,185 individu atau 97.7 peratus bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.
Sementara itu, 80.4 peratus atau 2,531,793 individu bagi kadar populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi manakala 87 peratus atau 2,740,442 individu remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sebanyak 102,057 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 26,295 suntikan dos lengkap, 5,488 menerima dos pertama dan 70,274 pula mendapat suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 51,322,636.
Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak kini sebanyak 1,042,234. – Bernama