Home Koronavirus Lebih 200 juta vaksin Covid-19 diedarkan

Lebih 200 juta vaksin Covid-19 diedarkan

0
Lebih 200 juta vaksin Covid-19 diedarkan

PARIS – Lebih 200 juta vaksin Covid-19 telah diedarkan kepada kira-kira 107 negara dan wilayah di seluruh dunia, menurut sumber rasmi yang diperoleh AFP pada Sabtu.

Data itu menunjukkan sebanyak 201,042,149 dos suntikan sudah diberikan, namun ia tidak termasuk data terbaharu dari China dan Rusia yang tidak memberikan butiran tentang program vaksinasi tersebut sejak beberapa hari lalu.

Kira-kira 45 peratus daripada dos vaksin itu diperoleh negara kaya G7 yang meliputi hanya 10 peratus daripada populasi global.

Pada Jumaat, kumpulan G7 terdiri daripada Amerika Syarikat (AS), Kanada, United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Itali dan Jepun berjanji untuk berkongsi bekalan vaksin secara adil dengan negara yang terjejas teruk pandemik itu.

Pemimpin G7 merancang untuk menggandakan jumlah sokongan mereka kepada AS$7.5 bilion (RM30.3 bilion) termasuk melalui skim perkongsian vaksin (Covax) yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika ini, sebanyak 92 peratus dos vaksin diedarkan ke negara yang ditakrifkan oleh Bank Dunia sebagai ‘berpendapatan tinggi’ atau ‘pendapatan menengah atas’ yang meliputi kira-kira separuh daripada populasi global.

Sementara itu, dalam kalangan 29 negara yang ditakrifkan sebagai berpendapatan rendah, hanya Guinea dan Rwanda yang telah melancarkan program vaksinasi.

Pada masa ini, Israel mendahului negara antarabangsa dalam program pemvaksinan tersebut yang menyaksikan hampir separuh daripada populasinya sudah menerima suntikan dos pertama.

Bagaimanapun, AS berada di tangga teratas carta kerana telah memberikan 59.6 juta dos suntikan vaksin disusuli China dengan 40.5 juta, UK dengan 17.5 juta, India dengan 10.7 juta dan Israel 7.1 juta. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here