Home Koronavirus Lebih 11,000 anggota PDRM Sabah akan terima vaksin Covid-19 fasa kedua

Lebih 11,000 anggota PDRM Sabah akan terima vaksin Covid-19 fasa kedua

0
Lebih 11,000 anggota PDRM Sabah akan terima vaksin Covid-19 fasa kedua

KOTA KINABALU – Lebih 11,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa kedua bermula April ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, setakat ini lebih 4,000 pegawai dan anggota PDRM di negeri itu telah menerima suntikan vaksin, selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada 24 Februari.

“Untuk fasa pertama ini juga, seramai 4,338 lagi anggota akan menerima suntikan vaksin dan dijangka dalam minggu ini semua mereka (fasa pertama) akan menerima suntikan itu.

“Saya juga berharap Persatuan Keluarga Polis (Perkep) juga akan diberi vaksin, kerana mereka juga membantu memantau warga polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ‘hari pertama persekolahan’ yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) Sektor Pembelajaran, Abidin Marjan di Sekolah Kebangsaan Darau, di sini pada Isnin.

Hazani yang telah menerima suntikan vaksin berkenaan pada 4 Mac lalu, turut mengajak rakyat di Sabah supaya mendaftar bagi mendapatkan vaksin tersebut.

Dalam pada itu, Hazani berkata, pihak polis turut memantau sebarang gerakan anti vaksin termasuk di laman sosial, bagaimanapun katanya setakat ini tiada laporan diterima berkenaan perkara itu di Sabah.

Terdahulu dalam lawatan itu, Hazani berkata, pihak polis akan mengadakan perbincangan bersama JKNS bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah, khususnya yang berdekatan dengan jalan raya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pihak polis akan berbincang dengan lebih lanjut dengan pihak JKNS (berhubung kesesakan) untuk melancarkan laluan di kawasan sekolah, supaya ada kawasan untuk ibu bapa mengambil dan menghantar anak-anak mereka terutamanya pada waktu puncak,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here