Home Koronavirus Lagi kes positif Covid-19 sekolah di Perak

Lagi kes positif Covid-19 sekolah di Perak

0
Lagi kes positif Covid-19 sekolah di Perak

IPOH – Sebuah sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk dilaporkan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelajar.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak, sehingga Jumaat, seramai 12 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan kesemua mereka merupakan kes bagi kluster baharu iaitu kluster Batu 20 Selekoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga kini terdapat dua sekolah berasrama di negeri ini yang berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pelajar yang disahkan positif itu telah diasingkan dan dikuarantin di asrama masing-masing.

“Semalam juga saya dilaporkan memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah terutama bagi sekolah-sekolah berasrama penuh. Tetapi mereka telah diasingkan dan tidak dibenarkan keluar dari tempat kuarantin.

“Bagaimanapun, sehingga kini tiada sekolah di negeri ini yang ditutup disebabkan jangkitan Covid-19. Kita berharap mereka akan selesai dikuarantinkan di asrama masing-masing sebelum dibenarkan pulang bercuti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Belia Yang Ketiga Perak Darul Ridzuan di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pada Khamis, Seramai enam pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif Covid-19.

Sementara itu, berhubung kes varian Omicron yang dikesan di negeri ini, Saarani berkata, satu Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Negeri Perak diadakan secara maya pada malam Jumaat bagi mendapatkan laporan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, selepas mendengar penjelasan kronologi kes daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming, kerajaan negeri berpuas hati dan menganggap tidak ada isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

“Kita dimaklumkan bahawa sehingga semalam (Jumaat), setelah dibuat kajian semula, kita bernasib baik kerana pelajar yang dijangkiti varian itu mematuhi SOP. Dia balik dari Afrika selepas cuti dan mematuhi SOP kuarantin 10 hari yang ditetapkan.

“Dalam tempoh kuarantin itu, dia dikesan mempunyai varian Omicron. Semua kontak rapat kes juga sudah disahkan negatif, jadi perkara itu bukan isu,” jelas beliau.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia pada Khamis melibatkan pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan.

Khairy berkata, individu tersebut merupakan pelajar sebuah universiti swasta berusia 19 tahun.

Pelajar tersebut bagaimanapun sudah menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di pintu masuk antarabangsa (PMA).

ARTIKEL BERKAITAN: 6 pelajar MRSM Sultan Azlan Shah positif Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN:Omicron: Rakyat Perak dinasihat supaya bertenang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here