LABUAN – Jumlah kes Covid-19 terus menurun di Labuan ke paras yang tidak pernah dicatatkan sejak akhir Februari tahun lepas, pada ketika Wilayah Persekutuan itu melaksanakan vaksinasi kepada kesemua orang dewasa dan melaksanakan sekatan pergerakan yang akhirnya menunjukkan kesannya.
Labuan mencatatkan kes baharu sifar pada Sabtu, pertama kali sejak pandemik itu melanda pulau bebas cukai tersebut.
Dengan perkembangan baik ini, kes di Labuan sehingga Sabtu kekal pada 9,740 kes dengan 149 kematian.
Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, Labuan mencatatkan kes pertama pada 18 Februari 2020 yang melibatkan satu pasangan suami isteri.
Isteri pasangan itu berusia 22 tahun berasal dari Shandong, China.
Seperti yang dilaporkan Bernama, pasangan itu telah ditahan sebaik tiba dari Kuala Lumpur selepas pihak imigresen mendapati mereka telah melawat China beberapa hari sebelum pulang ke Labuan.
Sebaik pemeriksaan oleh pegawai kesihatan, mereka telah disyaki mempunyai gejala virus itu dan telah dirujuk ke hospital dan dikuarantin.
Berdasarkan kepada siasatan, pasangan itu pulang ke Malaysia dari Xiamen, China pada 17 Februari 2020 dan menaiki penerbangan ke Labuan pada keesokan harinya.
Bermula dari hari itu, kes jangkitan harian di Labuan berterusan meningkat dan tidak pernah mencatatkan kes sifar sejak itu.
Dr Ismuni berkata, Labuan akan bertukar ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan jumlah telah divaksinasi 91.57 peratus mereka yang layak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Labuan sebelum ini menjadi negeri dan Wilayah Persekutuan dilanda kes Covid-19 paling teruk, dengan mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di negara dan melibatkan kes varian Delta,” katanya. – Bernama