Home Koronavirus Kumpulan pertama vaksin Covid-19 untuk Sarawak tiba 24 Februari

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 untuk Sarawak tiba 24 Februari

0
Kumpulan pertama vaksin Covid-19 untuk Sarawak tiba 24 Februari

KUCHING – Sarawak dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 yang ditunggu-tunggu pada 24 Februari selepas ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, fasa pertama program pemvaksinan di negeri itu akan bermula pada 27 Februari.

“Tidak sabar untuk ketibaan penerbangan penghantaran ke Sarawak pada 24 Februari, tepat pada masanya untuk pelancaran di Sarawak pada 27 Februari (di Stadium Perpaduan di Kuching dan Sibu),” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Vaksin Covid-19 untuk melindungi penduduk Malaysia daripada virus itu tiba di KLIA pada Ahad menggunakan pesawat khas.

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech itu mendarat pada jam 10.07 pagi.

Kui Hian berkata, banyak kerja-kerja persediaan telah dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menerima ketibaan vaksin itu.

Beliau berkata, ini termasuklah fasiliti, sokongan dan pemantauan ketat untuk pengangkutan.

“Kita mempunyai tujuh pusat simpanan vaksin (PSV) di seluruh Sarawak – Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sri Aman, Sarikei, Limbang. (Manakala) Pusat Pemberian Vaksin (PPV), (kita ada) 55 lokasi di seluruh negeri Sarawak untuk fasa pertama (barisan hadapan),” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here