Home Koronavirus Kumpulan NGO dari Mersing punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman

Kumpulan NGO dari Mersing punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman

0
Kumpulan NGO dari Mersing punca penularan Covid-19 di Pulau Tioman

KUANTAN – Polis Pahang sedang mengesan sekumpulan ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Mersing, Johor yang dipercayai menjadi punca penularan wabak Covid-19 di Pulau Tioman, sehingga diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, selepas melakukan siasatan terperinci, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa punca penularan Covid-19 di pusat peranginan itu berpunca daripada ahli NGO terbabit.

“Setakat ini, kita sudah kenal pasti tujuh individu yang telah merentas negeri dan pihak berkuasa sedang mengesan mereka untuk dikenakan kompaun RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kesalahan berkaitan.

“Kita tahu, kesemua mereka ketika ini sudah tidak berada di Pulau Tioman, namun begitu polis sedang menjejaki mereka menggunakan kaedah khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan 40 buah kenderaan Pasukan Kontinjen Pahang di Alor Akar, di sini pada Rabu.

Pada Selasa, akhbar tempatan melaporkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di Pulau Tioman dipercayai berpunca daripada aktiviti rentas negeri sekumpulan ahli NGO terbabit di mana salah seorang daripada mereka dipercayai positif Covid-19.

Setibanya di Pulau Tioman mereka menginap di sebuah chalet di Air Batang secara beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan fizikal menyebabkan berlakunya jangkitan.

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, pelancong tempatan yang terkandas di Pulau Tioman akan diuruskan oleh pejabat daerah dan kerajaan negeri untuk dibawa keluar daripada pulau peranginan itu.

Jelasnya, bagi individu yang bergejala pula akan dibawa ke pusat kuarantin terlebih dahulu untuk diasingkan.

Mengulas mengenai majlis penyerahan kenderaan tersebut, Abd Jalil berharap kemudahan dan aset yang diberikan kerajaan dijaga dengan berhemah dan tidak disalah guna untuk urusan peribadi.

“Kita mahu aset-aset ini sentiasa diselenggara mengikut tarikh dan bacaan odometer serta memastikan kenderaan ini sentiasa mempunyai kelengkapan yang cukup,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Pulau Tioman dikenakan PKPD mulai 16 Mac: Ismail Sabri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here