Home Koronavirus KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

0
KPLB saran penduduk pedalaman tidak memilih vaksin Covid-19

MERSING – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan penduduk pedalaman agar tidak memilih jenis vaksin Covid-19 sama ada satu atau dua dos kerana kesemua vaksin mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah mereka dapat menerima suntikan vaksin Covid-19 secepat mungkin bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok.

“Masyarakat jangan ambil kira jenis vaksin yang akan mereka ambil seperti CanSino atau vaksin dua dos, kerana yang penting adalah mereka dapat suntikan secepat mungkin.

“Masyarakat pedalaman seperti Orang Asli saya lihat ketika kali pertama, mereka kata agak bimbang untuk ambil vaksin tetapi selepas kita mendekati mereka, penerimaan mereka amat bagus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program pemberian vaksin menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Pulau Sibu, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai vaksin satu dos CanSino sekiranya ia akan diberikan kepada penduduk pedalaman.

Program pemberian vaksin secara PPV Bergerak itu diadakan dua hari bermula Jumaat dengan seramai 1,000 penduduk dan pekerja sektor pelancongan di Pulau Aur, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Rawa serta Pulau Tengah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Abdul Latiff berkata, pihaknya percaya pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk pedalaman tidak menjadi kesukaran memandangkan petugas kesihatan sudah mempunyai pengalaman dalam menyantuni mereka yang tinggal di kawasan itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri sejak dahulu lagi telah memasuki kampung-kampung pedalaman untuk memberi pelbagai suntikan vaksin. Jadi, pemberian vaksin ini bukan perkara baharu buat mereka kerana sudah ada pengalaman termasuk seluruh kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Sabah akan diberi keutamaan sebagai antara negeri terawal menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima bekalan vaksin itu.

Pemberian vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino di Sabah bakal memudahkan proses vaksinasi penduduk negeri itu terutama di pedalaman yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah logistik dan perhubungan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here