PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang untuk menambah pemperolehan vaksin bagi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK 2.0)
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia bagi memenuhi keperluan di bawah kementeriannya.
“Saya telah meminta pengurusan kanan kementerian untuk mengemukakan data lengkap agar boleh ‘match’ dengan peruntukan yang bakal dimohon kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pertamanya di kementeriannya pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MOVAK 2.0 akan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang mempunyai kadar vaksinasi rendah iaitu Johor, Sabah, Kelantan, Kedah dan Pahang serta Pulau Pinang.
“MOVAK 2.0 ini akan memastikan penjaja-penjaja divaksinkan kerana mereka adalah barisan hadapan ekonomi dan perlu memastikan keadaan selamat kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, selain penjaja, KPKT turut melihat keperluan vaksinasi terhadap pelanggannya yang lain iaitu penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Saya kira kita boleh bawa dan gunakan model yang sama seperti digerakkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk MOVAK 2.0 KPKT,” katanya.
Reezal berkata, sebanyak 66,000 dos sudah diberikan kepada komuniti PPR di seluruh negara membabitkan 33,000 individu setakat Rabu.
Katanya, MOVAK 2.0 merupakan kesinambungan daripada program MOVAK yang dimulakan menteri sebelum ini, Datuk Zuraida Kamaruddin.
“Movac adalah satu inisiatif saya fikir amat baik dan perlu diteruskan. Saya akan berhubung dan mengemukakan permohonan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam masa terdekat untuk dapatkan peruntukan vaksin bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Reezal berkata, kementerian akan membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sehingga mereka tidak mampu untuk mendiami kediaman.
Menurutnya, inisiatif bantuan kediaman itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Mereka ini kebanyakannya adalah golongan penjaja dan peniaga kecil serta penghuni PPR.
“Ada yang bukan sahaja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa,” katanya.
Pada perkembangan sama, Reezal berkata, program sanitasi awam yang dilaksanakan akan memberi tumpuan di kawasan yang padat dan sering dikunjungi ramai berbanding yang dilakukan ketika ini termasuk kawasan terbuka.
“Kita akan teruskan cuma ada dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sanitasi awam di tempat terbuka tidak membawa kesan begitu tinggi, jadi kita tumpu pada kawasan di tempat pengguna yang ramai contohnya di pasar serta laluan pejalan kaki,” katanya.