Home Koronavirus Kontak rapat tanpa janji temu punca CAC Pasir Gudang sesak

Kontak rapat tanpa janji temu punca CAC Pasir Gudang sesak

0
Kontak rapat tanpa janji temu punca CAC Pasir Gudang sesak

JOHOR BAHRU- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil maklum kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pasir Gudang sejak kebelakangan ini disebabkan himpunan kontak rapat yang hadir ke CAC tanpa janji temu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, purata harian kes positif yang hadir ke CAC terbabit dilaporkan mencecah sekitar 800 sehingga 1,000 sehari.

Katanya, purata kontak rapat yang hadir pula adalah antara 1,000 hingga 1,200 sehari, dengan jumlah harian dilaporkan sebanyak 3,000 sehari.

“Bagi mengurangkan keberadaan di CAC, JKNJ telah menggunakan pusat penilaian maya Covid-19 (VCAC) bagi memudah cara pengurusan pesakit positif Covid-19 serta pencarian kontak di negeri ini.

Dianggarkan sekitar 15,000 telah menggunakan VCAC setakat Mei lalu.

“Individu yang telah disahkan positif (sama ada saringan kendiri atau di klinik) dan belum dirawat, perlu akses pautan https://tinyurl.com/vcacjohor.

“Melalui sistem ini, individu terbabit akan dihubungi oleh petugas kesihatan dalam tempoh masa 48 jam. Orang ramai diminta untuk tidak datang ke CAC tanpa janji temu. Sekiranya semasa dalam tempoh menunggu, gejala semakin teruk, sila hubungi 999 untuk bantuan segera,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Vidyananthan, pesakit yang datang ke CAC perlu mempunyai janji temu namun CAC tetap menerima pesakit yang bergejala teruk apabila mereka hadir ke CAC.

“Orang ramai yang bukan kontak rapat juga dinasihatkan untuk tidak datang CAC tanpa janji temu. Sebaliknya mereka boleh membuat saringan kendiri atau pergi ke klinik-klinik berhampiran sama ada swasta atau kerajaan jika bergejala.

“Selain itu, terdapat juga klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan sebagai klinik CAC, iaitu pesakit boleh mendapatkan penilaian status kesihatan di samping pemasangan dan pemotongan gelang. Senarai Klinik CAC swasta tersebut (CAC GP) boleh diakses di http://tinyurl.com/cacswasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here