Home Koronavirus Kluster Tembok Dua di Tawau catat 159 kes

Kluster Tembok Dua di Tawau catat 159 kes

0
Kluster Tembok Dua di Tawau catat 159 kes

KOTA KINABALU – Sebanyak 124 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sabah melibatkan Kluster Tembok Dua di Tawau pada Ahad menjadikan keseluruhan kes jangkitan bagi kluster itu berjumlah 159.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, 35 kes positif mula dikesan dalam kalangan banduan di Penjara Tawau pada 16 Julai lepas melibatkan 30 kes dikesan menerusi saringan banduan yang akan dikeluarkan ke Depot Tahanan Sementara dan akan diserahkan kepada imigresen.

Katanya, lima lagi kes dikesan daripada banduan yang mempunyai urusan luar penjara iaitu empat banduan persidangan mahkamah dan satu banduan berkaitan kehamilan.

“Semua kes positif ini (melibatkan banduan) berada di Blok Ceria, Damai dan Abadi yang merupakan blok penjara yang bersih (sebelum ini), dan semua tahanan telah menjalani 14 hari kuarantin, dan sampel ujian saringan negatif.

“Saringan kontak rapat telah dilakukan bagi banduan dan juga pegawai penjara,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan Covid-19 berkata, tiga kluster lain turut direkodkan pada Ahad iaitu Kluster Batu Tiga Utara di Sandakan dengan 19 kes positif, Kluster Agathis di Kalabakan (33 kes) dan Kluster Sri Sandau di Kinabatangan (11 kes).

Beliau berkata, Kluster Batu Tiga Utara tercetus di sebuah pusat rawatan dialisis di Sandakan melibatkan kes indeks seorang lelaki 27 tahun dikesan positif Selasa lepas (13 Julai) dan kluster itu melibatkan jangkitan dalam kalangan pesakit serta ahli keluarga mereka.

Kluster Agathis pula dikesan Rabu lepas (14 Julai) dan Kluster Sri Sandau dikesan 12 Julai lepas melibatkan jangkitan di ladang sawit di kawasan masing-masing dan penularan jangkitan dikesan dalam kalangan rakan sekerja, pekerja klinik dan ahli keluarga.

Sementara itu, Masidi berkata, Sabah pada Ahad merekodkan 666 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 75,145 kes, manakala pesakit sembuh dibenarkan dan pulang adalah seramai 275 orang, menjadikan jumlah kumulatif 71,232 orang. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here