Home Koronavirus Kluster Industri Tangga Batu sumbang kes harian tertinggi di Melaka

Kluster Industri Tangga Batu sumbang kes harian tertinggi di Melaka

0
Kluster Industri Tangga Batu sumbang kes harian tertinggi di Melaka

MELAKA – Kluster Industri Tangga Batu menjadi penyumbang terbanyak kes harian baharu Covid-19 di Melaka pada Isnin dengan merekodkan 636 kes atau 56.8 peratus daripada 1,120 kes positif.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kes itu dicatatkan hasil saringan bersasar terhadap 760 pekerja di kilang berkenaan setelah kluster kes dikesan pada 14 Ogos lepas melibatkan seorang pekerja sebuah kilang pembuatan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan lain-lain produk perubatan di situ.

“Setakat ini 680 jumlah kumulatif kes daripada kluster ini telah direkodkan dengan 97 peratus daripadanya melibatkan pekerja bukan warganegara.

“Sehubungan itu, beberapa tindakan kawalan telah pun dilakukan termasuk pekerja yang positif diberikan rawatan sama ada di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) di sini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, semua kontak rapat juga diarahkan menjalani kuarantin di pusat kurantin dan kerja-kerja disinfeksi di tempat kerja juga dilakukan oleh majikan dengan dipantau Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah selain kilang itu diarah tutup selama 14 hari bermula 11 Ogos lalu.

Sementara itu, Rahmad berkata, daripada keseluruhan 1,120 kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada Isnin, sebanyak 749 kes adalah kategori satu, kategori dua (355 kes), kategori tiga (12 kes) dan kategori lima (empat kes).

“Secara keseluruhan, hanya 1.4 peratus atau 16 kes positif Covid-19 daripada 1,120 kes dilaporkan hari ini (Isnin) membabitkan kategori tiga dan lima,” katanya.

Melaka pada Isnin mencatatkan 1,120 kes positif Covid-19 daripada keseluruhan kes 19,740 kes positif yang dilaporkan di seluruh negara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here