Home Koronavirus KKM wujud pusat panggilan, tambah baik pemantauan CAC

KKM wujud pusat panggilan, tambah baik pemantauan CAC

0
KKM wujud pusat panggilan, tambah baik pemantauan CAC

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan kini dalam proses mewujudkan pusat panggilan untuk menambah baik proses pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pusat panggilan itu akan menerima panggilan daripada pesakit bergejala untuk disalurkan ke CAC berkaitan, menerima panggilan berkaitan pertanyaan umum berkaitan pemantauan di rumah (HSO) dan menyalurkan panggilan kecemasan ke MERS 999.

“Sebagai permulaan, ia akan dilaksana di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai beban kes tinggi. Selain itu, KKM akan menambah talian telefon di 33 CAC di tiga negeri tersebut bagi mengurangkan kesesakan talian telefon,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, ini berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 yang mendadak sejak April lalu menyebabkan beban tugas anggota di CAC bertambah.

“Peningkatan beban kerja dalam tempoh singkat menyebabkan kekangan talian telefon bagi menerima panggilan daripada pesakit serta petugas untuk membuat dan menerima panggilan seterusnya menyebabkan panggilan ke CAC tidak berjawab.

“Situasi itu menyebabkan kegelisahan pesakit yang sedang menjalani pemantauan di rumah mengenai status kesihatan semasa khususnya apabila mereka melaporkan gejala baharu atau kemerosotan gejala dalam sistem MySejahtera tetapi masih belum diambil tindakan oleh CAC,” katanya.

Beliau memaklumkan jumlah kedatangan pesakit ke CAC mencatat peningkatan sebanyak 150 peratus daripada 4,000 ke 10,000 kes sehari pada 5 Jun manakala jumlah kes aktif dalam pemantauan CAC juga meningkat 108 peratus daripada 5,300 ke 11,000 sehari.

“Selain itu, terdapat peningkatan jumlah kes yang memerlukan rujukan ke hospital bagi tempoh 23 Mei hingga 5 Jun 2021 iaitu daripada sembilan kes kepada 35 kes,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, sebanyak 198 CAC dengan pasukan terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) beroperasi di seluruh negara berbanding 148 pada Januari lalu.

CAC berfungsi sebagai pusat sehenti untuk penilaian individu yang disahkan positif sebelum ditentukan sama ada sesuai untuk menjalani isolasi dan pemantauan kendiri di rumah atau memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau hospital. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here