PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membekalkan sekurang-kurangnya 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti Covid-19 semasa berada di Tanah Suci susulan risiko penularan virus itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ubat antiviral berkenaan akan diberikan kepada jemaah haji positif Covid-19 yang memenuhi kriteria.
Menurutnya, petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.
“Selain rawatan ubat Paxlovid, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Covid-19 dan penyakit-berjangkit yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, sejumlah 255 petugas perubatan turut dihantar bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini,” katanya.
Jelasnya, jumlah tersebut merangkumi 128 petugas berpengalaman yang pernah menyertai operasi sebelum ini dan 127 petugas baharu.
“Kumpulan petugas perubatan ini terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan spiritual,” katanya.
Tambahnya, bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia pada tahun ini, kerajaan meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta merangkumi perolehan ubat-ubatan, alat perubatan, tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.
“KKM menyarankan kepada semua bakal jemaah haji terutamanya bagi individu berumur 60 tahun dan ke atas serta individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Langkah ini bagi memberikan perlindungan optima daripada jangkitan Covid-19 yang teruk dan kematian,” katanya.
Ujarnya, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) mengesyorkan individu berumur 60 tahun dan ke atas menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.
“Individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama setelah berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar,” katanya.