Home Koronavirus KKM nilai semula strategi

KKM nilai semula strategi

KKM nilai semula strategi

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menilai semula strategi sedia ada susulan katil untuk rawatan kes Covid-19 di sekitar Lembah Klang melepasi kapasiti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tindakan itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0.

Menurut beliau, hospital di Lembah Klang dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 khusus untuk menerima serta merawat pesakit kategori empat dan lima yang semakin meningkat.

“Sebanyak 5,198 katil yang disediakan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dan daripada jumlah itu, 154 katil dikhususkan untuk pesakit kategori empat.

“Jumlah katil telahpun melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang telah ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, baki katil yang disediakan bagi pesakit covid-19 kategori satu, dua dan tiga juga hampir digunakan sepenuhnya.

“Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima secara purata 800 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan 200 adalah pesakit kategori empat,” katanya.

Dr Adham berkata, antara langkah segera yang sedang dan telah diambil adalah menambah katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital KKM dan hospital pengajar universiti.

“Sebanyak 20 unit katil ICU tambahan di Hospital Ampang dan lapan unit katil ICU serta 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia telah ditambah mulai semalam (Rabu) bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat serta menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Menurut Dr Adham, wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dilengkapkan dengan 60 katil dan peralatan tambahan dianggarkan berjumlah RM1.1 juta.

“Selain itu, hospital medan dengan kapasiti 50 katil akan ditubuhkan di HTAR dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Tambah beliau, KKM turut melaksanakan penugasan semula pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu membabitkan 110 orang dari Kedah, Perak dan Terengganu ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

“Seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Klang ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 berkuat kuasa hari ini (Khamis) untuk tempoh antara satu hingga enam bulan,” katanya.

Dr Adham berkata, sebanyak 1,550 silinder oksigen juga ditambah bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.

“Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan 2,400 katil akan dioperasikan semula bagi menempatkan pesakit kategori satu dan dua.

“Tindakan ini bagi memastikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat,” katanya.

Pada Rabu, KKM memberi amaran bahawa sistem kesihatan di Lembah Klang akan lumpuh sekiranya kes harian positif Covid-19 masih merekodkan peningkatan yang tinggi secara berterusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here