Home Koronavirus KKM kendalikan PICK mulai 1 November

KKM kendalikan PICK mulai 1 November

0
KKM kendalikan PICK mulai 1 November

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sepenuhnya bermula 1 November depan berikutan tamatnya operasi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 31 Oktober nanti.

Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkembangan itu susulan situasi semasa PICK yang telah berada pada tahap yang baik, membolehkan mandat bagi usaha imunisasi penduduk yang selanjutkan dipulangkan semula oleh CITF kepada KKM.

Menurutnya, ia juga selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Untuk makluman, kedua-dua pihak, iaitu KKM dan MOSTI bersama dengan CITF telah mula berbincang dan menyelaraskan urusan pemulangan semula tugas-tugas imunisasi Covid-19 ini untuk memastikan ia dapat jalan dengan lancar.

“Saya yakin KKM sememangnya berpengalaman dan bersedia, terutamanya apabila KKM kini sedang giat menjalankan vaksinasi Covid-19 remaja yang sedang berjalan.

“Tambahan pula, PPV bukan kesihatan yang diuruskan oleh CITF kini telah mula ditutup secara berperingkat di seluruh negara. Kami menjangkakan tiada lagi PPV bukan kesihatan yang akan beroperasi selepas 31 Oktober 2021,”katanya ketika berucap sempena hari terakhir Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Untuk rekod, CITF ditubuhkan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 3 Februari 2021 sebagai pemantau kerangka kerja dan strategi keseluruhan bagi menyokong pelaksanaan PICK.

Sementara itu, Dr. Adham berkata PPV Bukit Jalil merupakan antara PPV mega di Lembah Klang dan banyak sumbangannya sejak beroperasi 21 Jun tahun ini.

Katanya, sepanjang 103 hari beroperasi, lebih daripada 730,000 dos vaksin Covid-19 telah diberikan.

“PPV ini juga merupakan PPV pertama yang melaksanakan vaksinasi untuk Fasa 3 di Lembah Klang.

“Ia juga merupakan satu-satunya PPV yang dikhaskan untuk walk-in bukan warganegara bermula 9 sehingga 22 Ogos lalu yang menyaksikan sebanyak 90,579 dos diberikan dalam tempoh tersebut,”katanya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang terlibat, petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus memastikan penerima vaksin mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tidak dilupakan juga terima kasih kepada Healthcare Operators iaitu NGT Solution di HCO A, Naluri Hospital di HCO B dan Salam Alliance di HCO C.

“Pengorbanan dan penat lelah anda telah menyumbang kepada kejayaan yang dapat kita lihat dalam program imunisasi negara hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here