Home Koronavirus KKM hantar lebih 400 petugas ke Sarawak Rabu depan

KKM hantar lebih 400 petugas ke Sarawak Rabu depan

0
KKM hantar lebih 400 petugas ke Sarawak Rabu depan

PUTRAJAYA – Seramai 430 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dihantar ke Sarawak pada 21 April ini (Rabu) bagi menambah petugas kesihatan dalam menangani penularan pandemik Covid-19, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, keputusan untuk menambah petugas kesihatan itu dibuat setelah beliau membuat lawatan ke Sarawak pada Isnin dan Selasa lepas termasuk melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Perpaduan, Kuching.

“Berdasarkan keadaan dan dapatan daripada lawatan tersebut, kami dapati wujud keperluan segera untuk menambah petugas kesihatan ke Sarawak. Penambahan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku, Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field di kementeriannya, di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Sarawak merekodkan 489 kes baharu Covid-19, dengan Kluster Tembok Sri Aman dan Kluster Jalan Puncak Borneo menjadi punca utama kes positif.

Dr Adham berkata, mengikut data yang dikumpul, Sarawak memerlukan kira-kira 1,436 petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, pegawai sains mikrobiologi, jururawat dan pemandu.

“Kesemua petugas kesihatan yang akan dihantar (ke Sarawak) terdiri daripada mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19,” kata Dr Adham.

Menurut Dr Adham, hampir 600,000 petugas barisan hadapan telah mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dan hampir 470,000 pula telah lengkap dua dos.

Mengenai taburan kes mengikut daerah di Sarawak, beliau berkata, bagi tempoh 1 April hingga Rabu, daerah Meradong mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 771 diikuti Julau (605), Bintulu (556), Kapit (387), Beluru (343) dan Sibu (283).

“Ini adalah antara daerah yang mempunyai kadar kes yang tinggi melebihi average negeri iaitu per 100,000. Jadi KKM akan hantar lebih ramai petugas di kawasan itu. Selain itu, KKM akan gerakkan petugas kesihatan dari daerah yang tiada kes seperti Simunjan, Pusa dan Lundu,” katanya.

Mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca, Dr Adham berkata, keputusan mengenainya akan diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan.

Media melaporkan Denmark pada Selasa lepas (13 April) mengumumkan keputusan untuk memberhentikan penggunaan vaksin AstraZeneca, sekali gus menjadi negara Eropah pertama berbuat demikian susulan kebimbangan kesan sampingan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here