Home Koronavirus Kit ujian kendiri Covid-19 perlu dijual pada harga berpatutan

Kit ujian kendiri Covid-19 perlu dijual pada harga berpatutan

0
Kit ujian kendiri Covid-19 perlu dijual pada harga berpatutan

SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan, Ikatan Komuniti Selamat berharap pihak berkuasa dapat memastikan kit ujian kendiri Covid-19 dapat dijual dengan harga yang berpatutan jika tidak mampu memberikannya secara percuma.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kit ujian kendiri tersebut masih lagi dijual pada harga yang mahal iaitu dengan harga RM19.90 seunit.

“Untuk golongan keluarga B40, dengan jumlah anak seramai tiga ke empat orang, jumlah untuk membeli kit ujian ini masih lagi dalam kategori membebankan.

“Jumlah harga membeli kit ujian tersebut adalah lebih mahal berbanding harga untuk mencukupkan makanan dapur dan keperluan harian.

“Tidak perlu tempoh sebulan untuk menyelesaikan kemelut ini. Kementerian yang berkaitan haruslah menyelesaikan masalah ini secepat mungkin kerana ketika ini, rakyat sudah disaran untuk melakukan ujian kendiri dengan lebih kerap,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihak berkuasa juga mestilah sentiasa menyemak dan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah memantau keadaan semasa dengan penuh teliti.

Menurutnya, walaupun negara akan memasuki fasa endemik, ia tidak bermakna pandemik Covid-19 sudah tidak bahaya lagi.

“Statistik yang dilaporkan pada masa kini masih dalam keadaan membimbangkan terutamanya berkaitan kanak-kanak.

“Dilaporkan seramai 67 kes kematian melibatkan kanak-kanak pada tahun ini iaitu 11 kali ganda berbanding hanya enam kematian pada tahun 2020. Sehingga kini, seramai 400,668 kes Covid-19 yang melibatkan kanak-kanak di negara ini.

“Kita harus berusaha sebaik mungkin untuk tidak mendedahkan risiko Covid-19 kepada golongan muda dan kanak-kanak, mereka haruslah dilindungi dengan segala cara,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here