Home Koronavirus Kesedaran daftar vaksinasi masih rendah

Kesedaran daftar vaksinasi masih rendah

0
Kesedaran daftar vaksinasi masih rendah

IPOH – Hanya 21 peratus rakyat di Perak telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah itu masih rendah berbanding keseluruhan 1.95 juta individu berusia 18 tahun ke atas yang layak menerima vaksin berkenaan.

Menurutnya, dapatan laporan menunjukkan sikap tunggu dan lihat orang ramai terhadap impak vaksin itu serta kekangan pendaftaran dalam kalangan masyarakat orang asli di pedalaman antara faktor menyumbang kepada peratusan pendaftaran yang rendah.

“Individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin di Perak kini telah mencecah 406,380 orang, tetapi dari segi peratusannya sangat rendah iaitu 21.1 peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Perak sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan jumlah pendaftaran ini termasuk menggiatkan lagi kempen kesedaran melalui kolaboratif jabatan dan agensi yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi membantu melaksanakan pendaftaran secara manual di kawasan perkampungan masyarakat itu sebagai penyelesaian mereka yang tidak mempunyai liputan internet bagi aplikasi MySejahtera.

Katanya, kerajaan negeri juga bercadang menambah khidmat sukarelawan bagi meningkatkan program pendaftaran imunisasi di lokasi-lokasi tumpuan ramai antaranya padang bola, pintu masuk pasar raya, pasar malam dan pusat khidmat wakil rakyat.

“Kita ambil contoh daripada kaedah daftar pemilih bagi pilihan raya dan kutipan zakat untuk perhebatkan lagi program pendaftaran.

“Dalam hal ini, kita perlu bantu kerajaan kerana lagi lambat mereka daftar, lagi lambat mereka menerima vaksin, ini akan menjadikan tempoh pelaksanaan (program imunisasi) lebih panjang sedangkan kita nak selesaikan dalam tahun ini juga sepertimana diarahkan kerajaan dan KKM,” katanya.

Saarani berkata, pelaksanaan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini akan melibatkan 31 PPV sedia ada dengan sasaran pemberian vaksin kepada 559,000 penduduk.

Katanya, jumlah PPV itu bagaimanapun akan ditambah mengikut keperluan termasuklah dengan mencari dan menggunakan kemudahan dewan di bangunan-bangunan maktab perguruan atau politeknik.

“Fasa pertama dulu kita beroperasi di semua klinik kesihatan dan hospital, tetapi untuk fasa kedua ini, kita tidak mahu ganggu tugas-tugas harian KKM.

“Jadi kita akan cari tempat-tempat lain yang mempunyai kemudahan dewan untuk kita gunakan sebagai PPV bukan sahaja bagi fasa kedua, tetapi fasa-fasa seterusnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here