JAKARTA – Indonesia melaporkan 748 kes jangkitan akibat varian Omicron setakat Sabtu, menurut angka terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan negara itu.
Kes itu membabitkan 569 kes import, 155 penularan tempatan dan 24 kes masih dalam siasatan, agensi berita Antara memetik kenyataan pegawai kanan kementerian kesihatan, Siti Nadia Tarmidzi.
Kebanyakan kes dikesan dalam kalangan individu yang pulang dari Arab Saudi, Turki, Amerika Syarikat, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.
Sebanyak 1,800 lagi kes berkemungkinan membabitkan varian Omicron di negara ini.
Siti Nadia berkata kerajaan terus mengkaji sekatan dan peraturan kuarantin demi mengekang penularan virus itu.
Kerajaan turut menghapuskan larangan perjalanan terhadap 14 negara berkuat kuasa 14 Jan memandangkan varian Omicron telah merebak ke 150 negara.
Negara-negara itu termasuk Afrika Selatan, Botswana, Norway, Perancis, Angola, Zambia, Zimbabwe, Malawi, Mozambique, Namibia, Eswatini, Lesotho, Britain dan Denmark.
Pelancong antarabangsa yang tiba di Indonesia perlu menjalani kuarantin diri tujuh hari selepas ketibaan.
Sementara itu, pesakit positif varian Omicron menjalani kuarantin di Hospital Kecemasan Covid-19 di Wisma Atlet Kemayoran, Jakarta atau di hospital rujukan, kata Siti Nadia.
Negara yang memiliki bilangan penduduk keempat tertinggi di dunia menjangka gelombang Covid-19 akibat varian Omicron akan mencapai kemuncak pada pertengahan Februari, dengan kes harian dianggarkan antara 40,000 hingga 55,000 pada minggu kedua atau ketiga.
Semalam, kementerian kesihatan melaporkan 1,054 kes baharu akibat Covid-19, peningkatan harian tertinggi dalam tiga bulan. – Bernama