Home Koronavirus Kes kematian Covid-19 di Kelantan membimbangkan

Kes kematian Covid-19 di Kelantan membimbangkan

0
Kes kematian Covid-19 di Kelantan membimbangkan

KOTA BHARU – Kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 di negeri ini di tahap membimbangkan iaitu dengan purata empat kematian sehari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pesakit yang meninggal dunia kebanyakannya melibatkan mereka yang berdepan dengan faktor umur dan risiko yang tinggi.

“Setakat ini secara kumulatif, Kelantan mencatatkan 104 kematian dari tahun lepas sehingga Isnin.

“Tahun ini kita catat jumlah kematian yang tinggi iaitu 97 kematian berbanding hanya tujuh kematian untuk tempoh setahun, tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau ditemui semasa melakukan tinjauan persiapan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Kelantan (JKKN) di sini. Turut hadir, Pengarah JKKN, Rosnan Rahman.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini diakui semakin meningkat meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan memerlukan pihaknya menyediakan PKRC tambahan.

Katanya, bilangan kes semakin banyak dengan kadar merebak juga semakin cepat, selain membabitkan kes-kes yang agak teruk.

“Daripada data yang kita ada, peratus untuk teruk itu cepat. Kita jangkakan sebab kurangnya kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

“Gelombang pertama banyak perbezaan dengan gelombang sekarang ini. Apa yang penting masyarakat perlu latih diri untuk jaga diri sendiri bagi memastikan kita sentiasa terkawal.

“Untuk PKRC ke 11 di JKKN ini, sebanyak 220 katil boleh dimuatkan di sini dan kita akan tempatkan pesakit wanita di sini selain di Tanah Merah dan Pengkalan Chepa,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai emosi dan moral kakitangan yang bertugas, Dr Zaini mengakui mereka agak keletihan kerana terpaksa menanggung beban kerja yang terlalu banyak.

Katanya, bagaimanapun pihaknya tetap melakukan tugasan sebaik mungkin dan Dr Zaini juga berharap seluruh masyarakat akan membantu mereka dengan menjaga diri masing-masing selepas ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here