Home Koronavirus Kes kematian akibat Covid-19 membimbangkan

Kes kematian akibat Covid-19 membimbangkan

0
Kes kematian akibat Covid-19 membimbangkan

[INFOGRAFIK] Semalam, kes positif Covid-19 dicatatkan di negara kita mencecah ke angka 3,807.

Jumlah tersebut bertambah sebanyak 74 kes baharu berbanding sehari sebelumnya yang mencatat angka 3,733.

Hasil pemerhatian dalam tempoh sebulan antara 10 April hingga 10 Mei 2021, kes mencatatkan turun naik jumlahnya tetapi konsisten ke arah peningkatan.

Ia dilihat mencapai kemuncaknya pada 7 dan 8 Mei 2021 apabila masing-masing mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 4,498 dan 4,519.

Namun, masih terlalu awal untuk memutuskan sama ada kes akan terus bertambah atau berkurang pada hari-hari seterusnya kerana Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan dilaksanakan di seluruh negara pada Rabu ini.

Bagaimanapun, kes kematian dicatatkan dalam tempoh sebulan itu dilihat cukup membimbangkan.

Jumlahnya konsisten menunjukkan peningkatan dari hari ke hari bermula dengan satu angka kepada dua angka sehari.

Setakat semalam, kes kematian tertinggi dalam sehari yang dicatatkan ialah pada 9 Mei iaitu seramai 26 orang.

Kes kematian juga dikatakan tidak lagi membabitkan golongan tua semata-mata pada masa sama turut melibatkan sekali golongan muda.

Memetik laporan sebuah portal berita tempatan, seorang epidemiologis, Dr Vinogiri KS berkata, sebanyak 3.7 peratus daripada kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan dari 31 Mac hingga 30 April adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun, berbanding 7.45 peratus berumur 35 hingga 44 tahun dan 11.2 peratus berumur antara 45 hingga 54 tahun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pakar bahawa jangkitan golongan muda semakin meningkat, gejala semakin teruk dan ramai dimasukkan di hospital serta unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, kadar jangkitan tinggi dikesan bagi individu berusia antara 20 hingga 39 tahun bagi tempoh 1 Januari lalu hingga 7 Mei 2021.

Semalam, Malaysia mencatatkan kematian harian sebanyak 17 kes dengan kematian keseluruhan sebanyak 1,700 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here