Home Koronavirus Kes Covid-19 meningkat, contohi negara luar: MB Kelantan

Kes Covid-19 meningkat, contohi negara luar: MB Kelantan

0
Kes Covid-19 meningkat, contohi negara luar: MB Kelantan

KUALA KRAI – Kerajaan negeri mahu rakyat di Kelantan menjadikan negara luar sebagai contoh apabila ada di antara mereka mengalami kenaikan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi akibat ketidakpatuhan pada prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, perkara berkenaan perlu dijadikan iktibar dan contoh memandangkan negeri ini kini juga mencatatkan jumlah jangkitan yang tinggi.

“Pengalaman ini telah ditunjuk oleh negara-negara luar iaitu apabila tidak patuh pada SOP, maka kes akan meningkat naik,” katanya kepada pemberita semasa meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Guchil di sini pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan antara faktor peningkatan kes di negeri ini adalah disebabkan oleh kelalaian dalam mematuhi SOP terutamanya penjarakkan sosial dan pemakaian pelitup muka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, musim perayaan juga antara salah satu faktor yang memungkinkan jumlah jangkitan meningkat di negeri ini, namun ia dijangka kembali turun dalam masa dua minggu.

Katanya, rakyat juga mungkin sudah terlalu ‘lama’ berada dalam keadaan berjaga-jaga sehinggakan mereka tidak sedar pematuhan mereka pada SOP semakin lalai dan longgar.

“Walaupun ada di antara kita sudah dapat satu dos atau dua dos suntikan vaksin, namun pematuhan ini perlu diteruskan setiap masa. Ambil pedoman daripada negara lain,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah kes yang tinggi di Kelantan pada Rabu, Ahmad berkata, pihaknya kini hanya boleh mengambil pendekatan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ia selaras dengan pandangan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Insya-ALLAH, jika permohonan vaksin tambahan dipermudahkan, kita akan mencapai imuniti kelompok sebagaimana yang dirancang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here