PERTUBUHAN Kesihatan Pan Amerika (PAHO) mengumumkan pada Rabu, varian Omicron menyebabkan jumlah kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat.
Pengarahnya Carissa Etienne berkata, berbanding tahun lalu, kes yang didaftarkan di negara-negara di Amerika Utara dan Selatan itu mengalami ‘peningkatan 250 peratus’.
“Sepanjang minggu lalu, jangkitan Covid-19 meningkat hampir dua kali ganda di rantau Amerika, daripada 3.4 juta pada 1 Januari kepada 6.1 juta pada 8 Januari.
“Jika dibandingkan dengan tahun lepas, pada minggu yang berakhir 8 Januari 2021, benua Amerika melaporkan sejumlah 2.4 juta kes.
“Manakala tahun ini, pada tarikh yang sama, terdapat 6 juta kes dilaporkan, meningkat 250 peratus dari tahun ke tahun,” katanya.
Jelasnya, walaupun varian Delta masih menyebabkan sebilangan besar jangkitan baharu di Amerika, berdasarkan aliran semasa, Omicron kini bakal menjadi dominan di rantau itu.
Beliau turut menggalakkan masyarakat mengambil dos penggalak bagi meningkatkan imuniti badan melawan Covid-19.
PAHO mendedahkan, varian Omicorn kini menular di setiap negara di benua itu dengan Amerika Syarikat mencatat kadar tertinggi, diikuti Bolivia, Ecuador, Peru dan Brazil.
Sementara itu, kadar jangkitan Covid-19 di Argentina dan Paraguay dilapor meningkat 300 peratus minggu lalu.
Kajian setakat ini mendapati varian Omicron tidak menyebabkan simptom yang serius tetapi masih boleh mengancam nyawa, khususnya bagi mereka yang tidak divaksin. – Awani