Home Koronavirus Kes baharu, kematian akibat Covid-19 menurun

Kes baharu, kematian akibat Covid-19 menurun

0
Kes baharu, kematian akibat Covid-19 menurun
DR Noor Hisham

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11,018 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-40 (ME 40/2022) iaitu dari 2 Oktober hingga 8 Oktober, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes baharu pada ME 40 menurun 10.4 peratus, berbanding 12,291 kes yang dicatatkan pada minggu sebelumnya (ME 39).

“Bilangan kes tempatan Covid-19 menurun sebanyak 10.4 peratus kepada 10,987 kes berbanding 12,260 kes (minggu sebelumnya),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes import pada ME 40 tidak menunjukkan sebarang perubahan, iaitu 31 kes sama seperti ME 39.

Bilangan kes kematian pada ME 40 menurun 7.7 peratus daripada 26 kes kepada 24 kes, sementara bilangan kes sembuh meningkat 2.8 peratus kepada 12,882 kes daripada 12,534 kes pada ME 39.

Beliau berkata, purata kes aktif setiap hari bagi ME 40 adalah 23,416, iaitu menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Menurut Dr Noor Hisham, secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan termasuk hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun pada ME 40 berbanding ME 39.

Beliau berkata, pesakit kategori satu dan dua menurun 8.3 peratus manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima juga menurun sebanyak 10 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 40 berbanding ME 39 menurun satu peratus bagi katil bukan kritikal, kekal 12 peratus bagi katil unit rawatan rapi (ICU) dan tiada yang aktif di PKRC.

Dr Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 iaitu ME 4 hingga 8 Oktober 2022 ME 40 secara kumulatif sebanyak 4,853, 523 kes baharu Covid-19 dicatatkan sementara kes sembuh yang direkodkan ialah 4,794,020.

Katanya, kumulatif kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 36,398 kes dan kumulatif kluster ialah 7,084 kluster dengan 13 kluster aktif. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here