Home Koronavirus Kes baharu Covid-19 turun lagi, 23,100 pada Isnin

Kes baharu Covid-19 turun lagi, 23,100 pada Isnin

0
Kes baharu Covid-19 turun lagi, 23,100 pada Isnin

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 23,100 kes pada Isnin berbanding 24,466 kes pada Ahad.

Angka jangkitan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti virus tersebut adalah sebanyak 3,442,736 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22,914 kes yang dilaporkan atau 99.19 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan manakala 186 kes lagi atau 0.81 peratus adalah kategori tiga hingga lima.

“Daripada jumlah kes baharu ini juga, sebanyak 22,802 adalah kes tempatan manakala 298 lagi kes import,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 186 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 39 kes atau 20.97 peratus dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“84 kes atau 45.16 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak manakala 63 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 82 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 84 kes mempunyai komorbid serta dua kes melibatkan ibu mengandung,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 30,624 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 3,116,564.

Menurutnya, bagi kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah seramai 361 orang dengan 193 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, penggunaan katil ICU bagi Covid-19 di Kelantan mencatatkan 70 peratus, diikuti Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (65 peratus), Johor (63 peratus), Melaka (61 peratus), Perak (58 peratus), Perlis (55 peratus) dan Sabah (53 peratus).

“Bagi katil bukan ICU pula, 12 negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Selangor (106 peratus), Kuala Lumpur dan Perak masing-masing (91 peratus), Kelantan (87 peratus), Putrajaya (84 peratus), Perlis (78 peratus), Pahang (69 peratus), Johor (68 peratus), Terengganu dan Sabah masing-masing mencatatkan (60 peratus), Pulau Pinang (57 peratus) serta Sarawak (55 peratus).

“Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hanya satu negeri sahaja menunjukkan peratusan lebih 50 peratus iaitu Melaka (57 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tiga lagi kluster baharu telah dikenal pasti manakala jumlah kluster yang masih aktif adalah 480.

Tambah beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.03 dengan Perak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.31, diikuti Sarawak (1.22), Terengganu (1.21), Labuan (1.18), Perlis (1.17), Negeri Sembilan (1.15), Pahang dan Selangor masing-masing (1.12), Pulau Pinang (1,11) manakala lain-lain negeri mencatatkan Rt bawah 1.10.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here