Home Koronavirus Kes baharu Covid-19 turun kepada 26,832 pada Ahad

Kes baharu Covid-19 turun kepada 26,832 pada Ahad

0
Kes baharu Covid-19 turun kepada 26,832 pada Ahad

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 26,832 kes pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang sudah dijangkiti virus itu adalah sebanyak 3,221,680 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 26,699 individu atau 99.50 peratus berada pada kategori satu dan dua, manakala 133 kes atau 0.50 peratus kategori tiga hingga lima.

“Daripada jumlah kes baharu ini juga, sebanyak 26,764 adalah kes tempatan, manakala 68 kes lagi kes import,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 18,459 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 2,937,655.

Menurutnya, bagi kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah seramai 261 orang dengan 139 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, penggunaan katil ICU bagi Covid-19 di Johor mencatatkan 70 peratus, manakala Kuala Lumpur (65 peratus) dan Melaka (50 peratus).

“Bagi katil bukan ICU pula, sembilan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Selangor 104 peratus, Perlis (101 peratus), Kelantan (96 peratus), Perak (91 peratus), Putrajaya dan Johor masing-masing 82 peratus, Sabah (79 peratus), Kuala Lumpur (77 peratus) serta Pulau Pinang (50 peratus).

“Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), enam negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Selangor mencatatkan 74 peratus, diikuti Perak dan Terengganu masing-masing 58 peratus, Sabah (57 peratus), Melaka (53 peratus) dan Kelantan (50 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 15 lagi kluster baharu dikenal pasti, manakala jumlah kluster yang masih aktif adalah 500.

Tambah beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.19 dengan Labuan mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.60, diikuti Sarawak (1.41), Sabah (1.35), Terengganu (1.33), Pulau Pinang (1.31), manakala lain-lain negeri mencatatkan Rt bawah 1.30.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here