Home Koronavirus Kerajaan tambah baik aplikasi MySejahtera

Kerajaan tambah baik aplikasi MySejahtera

0
Kerajaan tambah baik aplikasi MySejahtera

REMBAU – Kerajaan akan menambah baik aplikasi MySejahtera dengan memperkenal Pendaftaran Tanggungan esok, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata penambahbaikan itu adalah untuk memudahkan proses pendaftaran vaksin bagi warga emas.

“Pendaftaran (vaksin) fasa dua masih rendah, ia tertangguh sebentar kerana saya minta aplikasi ini betul-betul lancar. Pembangun aplikasi sudah beritahu saya ia boleh dilancarkan esok (Jumaat).

“Jadi, orang ramai boleh mendaftarkan (bagi program vaksinasi) untuk ibu, bapa, datuk atau nenek mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan pertama vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin Hospital Rembau hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin jenis Sinovac.

Khairy juga berkata, pihaknya sudah berbincang mengenai pasport vaksin dengan beberapa negara baru-baru ini.

“Kita akan berbincang dengan China tidak lama lagi mengenai pengiktirafan bersama sijil vaksin, kita sudah berbincang dengan Singapura dan Menteri Luarnya, Vivian Balakrishnan akan datang ke Malaysia minggu depan dan kita harap pertemuan itu akan menyaksikan persetujuan secara prinsip untuk mengiktiraf sijil vaksinasi digital kita,” katanya.

Pada 21 Feb lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan berhasrat mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mengenai perkembangan skim darurat Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan, Khairy berkata butirannya akan diumumkan Isnin ini selain memperincikan kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) terhadap vaksin Covid-19 setakat ini.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here