PUTRAJAYA – Kerajaan mempertimbangkan kaedah ‘mix and match’ vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca bagi melengkapkan dua dos pelalian.
Memetik portal Malaysiakini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
“Kita memiliki beberapa data ‘real-world’ yang diterima dari Jerman mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua, yang telah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian,” katanya menerusi webinar yang dihoskan oleh Oxford and Cambridge Society of Malaysia pada Rabu.
Menurut Khairy, kerajaan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan tersebut sebelum mendapatkan lebih banyak data.
“Kita akan melihat dengan teliti. Setelah kumpulan kerja teknikal jelas mengenai hal itu, mereka akan memberi nasihat kepada jawatankuasa yang saya ketuai bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan kita akan melaksanakan vaksinasi heterologi,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan optimis terhadap kaedah tersebut.
“Ada kemungkinan kita akan laksanakan kerana banyak negara sudah melakukannya untuk meningkatkan peneutralan antibodi dan keberkesanan.
“Tambahan pula ketika ini, kita sedang menghadapi masalah bekalan vaksin, jadi boleh mencampurkan kedua-duanya untuk mendapatkan kesan,” katanya.
Awal bulan ini, data awal yang dilakukan penyelidik Jerman mendapati peningkatan tindak balas imun setelah memberikan campuran vaksin AstraZeneca dan Pfizer kepada 26 orang.
Ujian serupa dibuat di Sepanyol membabitkan 600 orang juga mendapati bahawa campuran yang sama mencetuskan tindak balas imun yang kuat terhadap Covid-19.