Home Koronavirus Kerajaan pertimbang beri vaksin kepada golongan bawah 18 tahun

Kerajaan pertimbang beri vaksin kepada golongan bawah 18 tahun

0
Kerajaan pertimbang beri vaksin kepada golongan bawah 18 tahun

ALOR SETAR – Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian vaksin kepada penerima berusia antara 12 hingga 17 tahun setelah memperoleh data ujian klinikal daripada syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarikat berkenaan memaklumkan akan menghantar maklumat ujian klinikal itu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, maklumat itu juga akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dianalisis.

“Jika dipersetujui dan yakin ia selamat maka kita boleh memberi suntikan vaksin ini kepada golongan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, setakat ini hanya syarikat berkenaan yang mempunyai data ujian klinikal awal melibatkan penerima pada usia bawah 18 tahun.

“Kebanyakan tempahan vaksin kita juga daripada syarikat terbabit, jadi mungkin kita boleh memohon lebih kuota daripada mereka untuk menampung bekalan itu kepada remaja selepas ini.

“Bagaimanapun saya tidak fikir ia akan diberikan dalam masa terdekat kerana syarikat berkenaan juga memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk menilai data klinikal dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, susulan peningkatan kluster pendidikan di beberapa negeri, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyenaraikan jumlah guru.

“Setakat ini, kita sudah menerima senarai 460,116 guru daripada sektor pendidikan awam dan swasta berdaftar dan mereka akan diberikan janji temu pada fasa kedua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here