Home Koronavirus Kerajaan perlu telus lapor kadar jangkitan di institusi pendidikan

Kerajaan perlu telus lapor kadar jangkitan di institusi pendidikan

0
Kerajaan perlu telus lapor kadar jangkitan di institusi pendidikan

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta agar kerajaan lebih telus dalam melaporkan kes peningkatan kadar jangkitan wabak Covid-19 yang berlaku di institusi pendidikan ketika ini.

Beliau berkata, ia berikutan ramai pihak berasa bimbang dengan kadar jangkitan tersebut.

“Kebimbangan ini bukan sahaja melibatkan pelajar dan guru, malah ibu bapa serta anggota masyarakat secara amnya merasa cemas atas peningkatan kadar jangkitan ini terutama di sekolah-sekolah.

“Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Pihak berwajib khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus tampil memberikan penjelasan. Para pemegang taruh perlu ditenteramkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, rakyat amat menghargai segala usaha kerajaan dalam membendung wabak berkenaan dari telus menular.

Walau bagaimanapun, katanya, rakyat ingin tahu kluster manakah yang melibatkan sekolah, politeknik, kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) serta universiti dan kolej.

“Selain itu, rakyat juga ingin tahu apakah langkah yang diambil dalam keadaan terkini demi membendung wabak ini selain mengelakkan spekulasi liar dalam kalangan masyarakat setempat yang terkait dengan kluster-kluster ini.

“Hal ini hanya akan menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan pemegang taruh,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata, tindakan KPM untuk tidak lagi menutup sekolah secara pukul rata dan menyerahkan keputusan dibuat di peringkat lokal juga amat baik.

Namun, katanya, tindakan berkenaan perlu diperjelaskan kepada pihak awam dengan lebih terperinci.

“Rakyat semakin matang, maka pendekatan mendidik dan berkongsi informasi secara telus amat penting,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar menteri-menteri berkaitan tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here