Home Koronavirus Kerajaan negeri pelawa korporat, NGO bantu lengkapkan PKRC

Kerajaan negeri pelawa korporat, NGO bantu lengkapkan PKRC

0
Kerajaan negeri pelawa korporat, NGO bantu lengkapkan PKRC

GEORGETOWN – Badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipelawa untuk membantu kerajaan negeri melengkapkan kemudahan di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Risiko Rendah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PKRC terbabit yang menempatkan sebanyak 97 katil pesakit khususnya mereka yang memerlukan bantuan oksigen dijadualkan dibuka pada Jumaat.

Beliau berkata, kedudukan Kompleks berkenaan yang terletak berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) memudahkan proses pemindahan pesakit sekiranya memerlukan rawatan lebih kritikal.

“Sejak kebelakangan ini, pesakit yang memerlukan rawatan dalam ketegori tiga hingga lima sudah melebihi 40 peratus jumlah kemasukan di hospital. Ini memerlukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mencari tempat tambahan.

“Atas cadangan JKN Pulau Pinang ialah kerajaan negeri bersetuju membuka satu lagi PKRC iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang. Tambahan pula Pulau Pinang mencatatkan 1,867 kes positif pada Rabu yang pastinya memerlukan tempat bersesuaian untuk kuarantin dan rawatan untuk mereka,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan tapak di PKRC berkenaan pada Rabu.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Asmayani Khalib.

Kon Yeow berkata, usaha untuk membuka lebih banyak wad dan pusat rawatan Covid-19 telah dibuat termasuk di Hospital Pulau Pinang, Hospital Bukit Mertajam dan Hospital Seberang Jaya.

Bagaimanapun, katanya, ia masih lagi diperlukan berikutan berlakunya pertambahan kes sejak kebelakangan ini.

“PKRC Kompleks Masyarakat Penyayang masih memerlukan pelbagai peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk melancarkan operasi.

“Antara yang diperlukan seperti katil resusitasi untuk pesakit yang kritikal, vital sign monitor, electrocardiogram (ECG), set diagnostic oftalmoscope otoscope, troli kecemasan, water dispenser, portable suction, X-ray viewing box dan banyak lagi.

“Barangan bukan perubatan yang diperlukan ialah seperti khemah yang dilengkapi dengan kipas dan soket, swab booth, kipas industri, kerusi roda, kabinet penyimpanan kinen, papan putih beroda saiz besar, komputer dan mesin pencetak serta penyambung wayar,” katanya.

Bagi sebarang urusan berhubung sumbangan peralatan boleh menghubungi Pegawai Perubatan (Bahagian Perubatan) JKNPP, Dr A Lingeshwaran di talian 012–594 4347 atau Ketua Penolong Pegawai Perubatan (Bahagian Perubatan) JKNPP, Abdul Halim Abdul Hamid di talian 012 – 407 3200.

Bagi sumbangan berbentuk wang tunai pula boleh disalurkan ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang menerusi akaun 5570-5462-0930 (Maybank).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here