PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata ia bergantung kepada laporan pakar terhadap situasi Covid-19 negara sama ada penerima memerlukan kesan maksimum perlindungan daripada dos kedua dengan lebih cepat.
“Kita masih perlu melakukan aktiviti penjujukan genom yang berterusan untuk mengesan jika wujud varian baru Covid-19 lebih ganas yang akan mengganggu keberkesanan vaksin AstraZeneca. Keputusan akan dibuat oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin) jika tempoh dos kedua perlu diberi dalam masa lebih cepat (enam minggu selepas dos pertama),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Sabtu.
Pada masa ini, tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca adalah 12 minggu atau tiga bulan.
Sementara itu, katanya kerajaan akan mengkaji laporan pakar kesihatan negara dan pihak berkuasa kesihatan Australia berikutan negara itu menghentikan penggunaan AstraZeneca kepada rakyat 60 tahun ke bawah susulan terdapat kebimbangan vaksin itu ada kaitan dengan kejadian darah beku untuk golongan tersebut.
Dr Adham berkata, ia terutamanya bagi bekalan AstraZeneca dikeluarkan oleh pembekal dari Thailand yang akan tiba pada Julai ini.
“Pakar-pakar kita akan membuat penilaian kembali sama ada AstraZeneca kali ini sesuai diberikan kepada 60 tahun ke bawah,” katanya.
Malaysia sebelum ini membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan melalui fasiliti Covax.
Dr Adham berkata, setakat ini menurut data secara keseluruhan vaksin AstraZeneca tidak melaporkan sebarang kemudaratan teruk terhadap penerima di negara ini.
Mengulas mengenai ‘1st dose strategy’ (mengutamakan pemberian dos pertama) dalam pemberian vaksin, Dr Adham berkata buat masa ini kerajaan tidak akan melaksanakannya kerana bekalan vaksin yang ditempah adalah mencukupi untuk penduduk negara ini.
Menerusi strategi itu suntikan dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada lebih ramai orang dengan melanjutkan tempoh pemberian dos kedua. Strategi berkenaan telah dilaksanakan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jerman
Dalam pada itu, Dr Adham berkata, kerajaan menjalankan kaedah ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ bagi golongan yang sukar mendapat akses pendaftaran vaksinasi, terutamanya mereka di kawasan pedalaman.
Dr Adham berkata, ia dengan mengaktifkan ‘mobile team’ melibatkan kerjasama pelbagai kementerian bagi menjejaki golongan sasaran yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Pada fasa dua kita sasarkan untuk suntik 9.4 juta penerima, tetapi hingga kita dapati hanya 4.4 juta sahaja yang telah berdaftar dengan MySejahtera, jadi kita sedang sedaya upaya untuk mengerah pasukan untuk kita capai semua penerima ini, baru kita boleh teruskan dengan fasa ketiga,” katanya.
Fasa kedua program imunisasi itu bermula April lepas yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpenyakit kronik.
Sementara itu, Dr Adham berkata, rakyat yang telah divaksinasi perlu kekal melakukan tindakan kesihatan awam kendiri agar risiko penularan jangkitan dapat dibendung dengan berkesan.
“Masih ada kebarangkalian untuk individu yang telah diberikan vaksin mendapat jangkitan Covid-19 kerana kita masih terdedah kepada risiko jangkitan virus tersebut memandangkan ia telah berada dalam komuniti. Norma baharu seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga jarak fizikal dan elak daripada mengunjungi tempat sesak serta elak daripada bersentuhan perlu terus diamalkan,” katanya
Katanya, vaksinasi Covid-19 berfungsi melindungi penerima daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, justeru kerajaan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memastikan apa-apa sahaja vaksin digunakan telah dipastikan ia selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.
Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada golongan berusia 12 hingga 17 tahun, KKM kini sedang merangka strategi bagi memvaksin golongan tersebut yang berjumlah 3.5 juta.
Kerajaan meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas. – Bernama