Home Koronavirus Kemasukan ke hospital menurun di Lembah Klang: Noor Hisham

Kemasukan ke hospital menurun di Lembah Klang: Noor Hisham

Kemasukan ke hospital menurun di Lembah Klang: Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kemasukan ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Lembah Klang menunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia hasil daripada vaksinasi yang telah mencapai 60 peratus.

“Dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, penurunan akan dilihat dengan lebih nyata,” katanya pada sidang akhbar Covid-19 di ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat.

Menurutnya, turut menunjukkan penurunan adalah Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Labuan sebanyak 63.4 peratus telah lengkap vaksinasi, Sarawak (63.4 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata, negeri lain seperti Kedah, Johor, Kelantan dan Sabah belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan vaksinasi masih di bawah 50 peratus.

“Jadi kita perlu tingkatkan vaksinasi dan mengambil contoh di Labuan apabila vaksinasi ditingkatkan hari ini kes Covid-19 hanya satu angka sahaja,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, Mohd Shafiq berkata, KKM sedang dalam rundingan bagi melaksanakan penyewaan 100 buah ambulans untuk tempoh yang lebih panjang antara enam hingga satu tahun bagi menampung keperluan perkhidmatan.

“Ini adalah salah satu usaha KKM bagi menampung kekurangan ambulans sedia ada di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, kementerian juga sedang memuktamadkan perolehan menerusi tender terbuka sejumlah 490 buah ambulans.

“Sebanyak 25 buah ambulans daripada pihak swasta telah terlibat dalam aktiviti penyumberluaran bagi tempoh satu hingga tiga bulan untuk ditempatkan di Pejabat Kesihatan Daerah dan Covid-19 Assessment Center (CAC) di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Tambahnya, KKM turut mengubah suai kenderaan van dengan dibekalkan peralatan perubatan minimum seperti silinder oksigen bagi membolehkan kenderaan van ini digunakan untuk membawa pesakit ke PKRC dan hospital.

“Langkah ini diharapkan dapat membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan kadar kematian Brought in Dead (BID),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here