Home Koronavirus Kejayaan menyeluruh, NS berjaya ke Fasa 3

Kejayaan menyeluruh, NS berjaya ke Fasa 3

0
Kejayaan menyeluruh, NS berjaya ke Fasa 3

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melafazkan rasa sukacita baginda dan bersyukur di atas kejayaan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara bermula Sabtu.

Baginda bertitah, kejayaan peralihan fasa ini adalah disebabkan iltizam dan kesepakatan semua pihak yang telah bekerja keras mendepani pandemik Covid-19 ini.

Tuanku Muhriz bertitah, berdasarkan program kesedaran yang berkesan dan pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menyeluruh, baginda bersyukur jumlah rakyat Negeri Sembilan dewasa yang telah menerima vaksinasi lengkap dua dos telah melebihi 80 peratus.

“Kini Negeri Sembilan juga telah mencapai imuniti kelompok (herd immunity) seperti yang kita sasarkan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada semua pihak sama ada jabatan, agensi, mahu pun sukarelawan yang telah bersungguh-sungguh menyumbang masa dan tenaga dalam merealisasikan matlamat Program Imunisasi Covid-19.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha agar dugaan ini segera berakhir dan negeri yang kita kasihi ini terus dilimpahi kemajuan serta kemakmuran yang akan dinikmati oleh sekalian rakyat tanpa dibatasi sempadan kaum, bangsa, agama dan politik.

“Oleh itu, sama-samalah kita prihatin dan membantu mengurangkan beban mereka dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan dalam usaha memutuskan penularan pandemik Covid-19,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ke Empat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14 di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, keberangkatan tiba baginda pada jam 10 pagi, diiringi Speaker DUN, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, dan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut bertitah, selain dugaan pandemik Covid-19, negara juga telah mengalami beberapa cabaran dan situasi yang memberikan kesan kepada kestabilan politik dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sehingga meresahkan rakyat.

“Sehubungan itu, Beta berharap semua pihak di dalam dewan ini mengambil iktibar dan teladan daripada peristiwa yang telah berlaku di sekeliling kita.

“Semua ahli dewan hendaklah mematuhi matlamat dan amanah yang dipertanggungjawabkan dan bekerjasama dengan penuh integriti dan akauntabiliti, demi rakyat tanpa ada kepentingan peribadi.

“Beta juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Beta pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah melaksanakan pelbagai tindakan dan inisiatif dengan penuh komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” titah baginda.

Baginda bertitah, walau pun berdepan dengan suasana yang getir, namun pada masa yang sama, dasar-dasar pemulihan turut dirangka dan dipacu bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri ini terus berkembang dengan mampan.

“Kerajaan Beta juga telah mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM29.4 juta bagi membiayai pelbagai inisiatif dan bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan,” ujar baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here