Home Koronavirus Keistimewaan ‘pas hijau’ perlu dilaksanakan berhati-hati: PH

Keistimewaan ‘pas hijau’ perlu dilaksanakan berhati-hati: PH

0
Keistimewaan ‘pas hijau’ perlu dilaksanakan berhati-hati: PH

SHAH ALAM – Kerajaan diingatkan supaya berhati-hati dalam memberi kelonggaran pergerakan dan keistimewaan atau ‘pas hijau’ kepada individu yang lengkap dos suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan dalam kenyataan bersama pada Isnin berkata, ini kerana keistimewaan tambahan yang terlalu awal ketika keadaan liputan vaksin masih rendah dan tidak sekata di antara negeri dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan.

“Kami mendesak kerajaan supaya melaksanakan kelonggaran dengan cermat, secara beransur bukan secara mendadak dan dengan penuh kasih sayang bukan secara paksaan.

“Pelan kelonggaran haruslah berdasarkan fakta dan bukti dari kesilapan lepas. Keputusan yang dibuat secara terburu-buru boleh mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam /kalangan masyarakat dan akan lebih membebankan sistem kesihatan awam.

“Adalah tidak wajar untuk memperkenalkan sesuatu yang tidak boleh dijangka terutamanya tatkala sistem kesihatan diseluruh negara masih bergelut dengan pelbagai kekangan,” katanya.

Kenyataan bersama itu melibatkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Parti Amanah Negara- Amanah); Dr Lee Boon Chye (Parti Keadilan Rakyat -PKR); Dr Ong Kian Ming (DAP); Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah); Dr Kelvin Yii (DAP) dan Sim Tze Tzin (PKR).

Turut serta Alice Lau (DAP); Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Selangor); Dr Norlela Ariffin (Exco Pulau Pinang); Veerapan Supramaniam (Exco Negeri Sembilan); Dr Niekmah Adam (Angkatan Wanita Amanah) dan Dr Zaliha Mustafa (Majlis Pimpinan Pusat PKR).

Sementara itu, dalam perkembangan sama, jawatankuasa itu juga turut mencadangkan supaya lima parameter diambil kira sebelum sebarang perancangan berkenaan keistimewaan atau penamatan kawalan pergerakan dipertimbangkan.

Mereke berkata, parameter itu antaranya liputan vaksinasi sesuatu kawasan hendaklah sekurang-kurangnya 50 peratus, semua kumpulan berisiko menerima dua dos lengkap dan kapasiti sistem penjagaan kesihatan tidak melebihi 70 peratus.

“Selain itu, mewujudkan Strategi Pelan Ujian Nasional yang komprehensif yang merangkumi kenal pasti, ujian, kesan, kuarantin, sokongan (FTTIS) dan kadar kejadian hendaklah tidak kurang daripada 250 setiap 100,000 kes aktif.

“Hanya apabila parameter ini telah dicapai, barulah kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi keistimewaan atau ‘pas hijau’ kepada semua yang berstatus telah lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berkata, cadangan keistimewaan atau kelonggaran pergerakan cuma diberi dalam lingkungan ‘dalam negeri yang sama, dalam ekonomi yang sama’ dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan beri kelonggaran dibuat berhati-hati

ARTIKEL BERKAITAN:Jangan terlalu gembira kelonggaran diberikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here