SHAH ALAM – Kehadiran orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini pada Rabu dilihat terkawal dengan jumlah kehadiran tidak seramai berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tinjauan Bernama di CAC Stadium Malawati pada Rabu mendapati, keadaan lebih teratur berbanding sebelum ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di Selangor akhir-akhir ini, sehingga menyaksikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan individu yang menetap di daerah Petaling bagi menjalani saringan Covid-19.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata, beberapa penambahbaikan dilakukan sejak Isnin termasuk memperluaskan ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen manakala satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium itu bagi tujuan saringan ke atas pekerja industri.
Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung yang berada di luar stadium.
CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 buah khemah daripada kerajaan Selangor, 14 buah khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret) di samping sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Sementara itu, keadaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas juga didapati lebih teratur dan terkawal berbanding hari pertama pengoperasian pusat berkenaan, Isnin lepas.
Tinjauan Bernama di sekitar CAC Andalas mendapati, walaupun jumlah individu yang hadir untuk menjalani saringan Covid-19 dilihat agak ramai dan terpaksa beratur panjang, keadaan masih terkawal.
Pada Selasa, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pengurusan CAC di Selangor akan ditambah baik khususnya berkaitan proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan.
Dalam pada itu, tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang ditutup pada Selasa ekoran penularan kes Covid-19 dalam kalangan petugasnya, mendapati aktiviti pemberian vaksin kembali beroperasi seperti biasa pada Rabu.
Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu suntikan vaksin dijadualkan semula.
Hanya individu yang divaksin sahaja dibenarkan masuk dan menaiki lif yang diselia oleh petugas PPV dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia. – Bernama