Home Koronavirus Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan

Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan

0
Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan

ALOR SETAR – Kedah akan menerima bekalan vaksin dalam kapasiti lebih besar pada minggu depan bagi menangani peningkatan kes positif Covid-19 yang kian membimbangkan di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bagi membolehkan proses vaksinasi dipercepatkan ekoran kadar vaksinasi masih rendah, sekitar 15 peratus.

Menurutnya, lebihan vaksin dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Langkawi turut akan dibawa ke tanah besar bagi menampung keperluan.

“Kerajaan negeri juga akan membuka sebuah lagi PPV berkapasiti besar di Sungai Petani dalam masa terdekat.

PPV baharu untuk daerah Baling pula akan dibuka di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) pada minggu depan,” katanya dalam kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pada Jumaat.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi JKKN Kedah berkata, PPV Padang Serai telah beroperasi untuk mengendalikan proses vaksinasi bagi daerah Kulim, selain membantu PPV sedia ada yang telah beroperasi sebelum ini.

“Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri di Sungai Petani akan mula beroperasi di Kilang Minebea pada Isnin, dan sebuah lagi akan dibuka di daerah Kubang Pasu,” katanya.

Menurutnya, Pusat Khas Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Wawasan, Jitra pula dijangka beroperasi selepas 8 Ogos setelah kerja-kerja baik pulih selesai.

“Kita juga telah memutuskan untuk membiayai operasi khas kuarantin dan rawatan pesakit di Stesen Kuarantin Covid-19 Institut Aminuddin Baki (IAB) Jitra bagi menangani kes-kes khas,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, langkah lain yang akan dilaksanakan termasuk membekalkan 200 unit oximeter (alat mengukur kandungan oksigen dalam darah) kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk kegunaan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua yang dirawat di rumah.

“Proses vaksinasi bergerak (outreach) akan digerakkan di semua daerah yang memerlukan pendekatan tersebut dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah.

Pendaftaran penerima vaksin melalui MySejahtera dan kaedah lain turut dipergiatkan selari dengan penerimaan bekalan vaksin yang meningkat,” katanya.

Menurutnya, kawalan dan operasi vaksinasi khas akan dilakukan di Bukit Malut dan Pulau Tuba, Langkawi bersesuaian dengan lokasi dan keadaan penduduk setempat.

“Saya juga bercadang untuk mohon kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu kawasan tapak bina di Pendang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here