Home Koronavirus Katil pesakit Covid-19 kategori 3, 4 ditambah di PKRC MAEPS

Katil pesakit Covid-19 kategori 3, 4 ditambah di PKRC MAEPS

0
Katil pesakit Covid-19 kategori 3, 4 ditambah di PKRC MAEPS

SERDANG – Bilangan katil untuk menampung pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat akan ditambah di Dewan A Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pengarah pusat berkenaan, Dr Shahabuddin Ibrahim berkata, perancangan sedang dibuat untuk menambah 800 katil bujang khusus untuk merawat kategori kritikal di dewan tersebut bagi mengurangkan kesesakan pesakit Covid-19 khususnya di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Dewan A mampu menempatkan 2,960 katil dua tingkat untuk tingkatkan kapasiti rawatan namun untuk pesakit kritikal, hanya katil bujang akan digunakan.

“Apabila kita pakai katil bujang, kapasiti akan berkurangan tapi dapat menampung kategori pesakit yang lebih serius lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Barakah Ramadan yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek, di sini pada Isnin.

Kategori tiga pesakit Covid-19 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru manakala kategori empat adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Dr Shahabuddin berkata, setakat ini, PKRC Bersepadu 2.0 telah merawat lebih 78,000 pesakit Covid-19 dengan 2,400 pesakit masih dirawat buat masa ini.

Katanya, sebanyak 1,200 petugas barisan hadapan telah divaksinasi di fasiliti berkenaan yang juga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) utama di kawasan Lembah Klang.

Malaysia mencatatkan 2,776 kes positif baharu Covid-19 pada Isnin selain 13 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 mencecah 395,718 kes.

Sementara itu, Mohammad ketika berucap pada majlis itu mengalu-alukan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan dan pihak lain agar menyalurkan sumbangan kepada PKRC Bersepadu 2.0 sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan selain menyantuni pesakit Covid-19 yang dirawat di pusat itu.

Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Komunikasi Komuniti itu juga menyaksikan pengagihan bubur lambuk kepada petugas dan pesakit di pusat berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here