Home Koronavirus Kartel jenazah Covid-19 diingat tidak ambil kesempatan

Kartel jenazah Covid-19 diingat tidak ambil kesempatan

0
Kartel jenazah Covid-19 diingat tidak ambil kesempatan

SHAH ALAM – Pihak yang menguruskan jenazah Covid-19 di Selangor diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj mencecah RM700 hingga RM1,800 bagi kos pengurusan mayat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau menerima aduan daripada waris yang mendakwa kos pengurusan mayat pesakit Covid-19 terlalu tinggi dan membebankan.

Menurut beliau, harga sebotol debu tayamum misalnya RM15 sahaja, tetapi pihak terbabit didakwa mengenakan caj tayamum mencecah RM700 kepada waris.

“Malah, beg mayat yang digunakan bagi menggantikan kain kafan dan PPE (Pakaian Perlindungan Diri) disediakan oleh pihak hospital secara percuma,” katanya yang memuat naik status di Facebook beliau pada Rabu.

Selain itu, katanya, sanitasi jenazah pula dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau, setiap kali berlaku kematian Covid-19, emosi waris sangat terganggu dan tidak stabil kerana tidak boleh melihat, mencium, mendakap apatah lagi menguruskan jenazah berikutan prosedur operasi standard (SOP) daripada KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Waktu inilah kartel jenazah Covid-19 mengambil kesempatan menyantuni waris semasa di hospital kerana dalam fikiran waris yang sedang bersedih mereka hanya mahu memastikan jenazah disayangi dikebumikan pada kadar segera,” katanya.

Justeru, katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta menyiasat segera perkara itu dan menghentikan aktiviti terbabit daripada terus berleluasa.

“Kartel jenazah Covid-19 jangan berselindung di sebaik nama tauliah JAIS dan JAKIM. Tolong jangan malukan agama Islam,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here