PUTRAJAYA – Malaysia mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebih setengah juta dos dengan 507,050 dos telah diberikan pada Khamis.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, ia menjadikan jumlah individu yang telah menerima dos pertama adalah 10,920,862 dan 5,104,054 yang lain telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
“Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa sebanyak 46.7 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan sebanyak 21.8 peratus pula telah mendapat dos yang penuh,” katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Menurutnya, pencapaian itu selari dengan sasaran yang ditetapkan.
Katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu perlu dipertingkatkan lagi agar sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.
“Dengan vaksinasi, kita akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, Insya-ALLAH,” katanya.
Muhyiddin dalam pada itu turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan serta sukarelawan pusat pemberian vaksin (PPV) atas sokongan terhadap PICK.
Sebelum ini negara mengumumkan pencapaian secara konsisten lebih 400,000 dos setiap hari sejak 12 Julai lalu.
Malaysia merekodkan kadar vaksinasi tertinggi di Asia Tenggara dan turut tersenarai antara yang tertinggi di dunia.