Home Koronavirus Kadar vaksin PICKids membimbangkan

Kadar vaksin PICKids membimbangkan

Kadar vaksin PICKids membimbangkan

GEORGETOWN – Pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pulau Pinang agak membimbangkan kerana sehingga 8 Mei hanya 49.5 peratus untuk dos pertama dan 37.7 peratus untuk dos kedua.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menggesa ibu bapa segera membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut memaklumkan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 berisiko mengalami sindrom keradangan multisistem yang boleh membawa kepada kematian.

“Ibu bapa perlu membuat keputusan yang betul dengan membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin sebelum 15 Mei ini khasnya di pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi secara ‘walk-in’,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa membawa anak-anak mereka sebelum tarikh tersebut bagi mengelakkan menanggung kos suntikan itu sendiri.

“Tarikh tersebut merupakan tarikh akhir yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi PICKids membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. Selepas tarikh itu, sebarang suntikan vaksin adalah memerlukan tanggungan kos sendiri,” katanya.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri akan meneruskan pelbagai usaha dan inisiatif dalam meningkatkan kadar suntikan sedia ada di samping sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan yang melibatkan ancaman virus Covid-19.

Sehingga 26 April 2022, kadar pemberian dos penggalak kepada warga emas adalah 76.8 peratus, manakala kadar pemberian dos 1 dan 2 untuk kanak-kanak adalah masing-masing 42.3 peratus dan 21.4 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kadar vaksinasi kanak-kanak amat membimbangkan apabila mengambil kira tarikh tutup 15 Mei semakin hampir.

Menurut beliau, kementerian tidak akan memanjangkan lagi tempoh pelaksanaan PICKids berdasarkan beberapa faktor, termasuk memastikan stok vaksin Pfizer mencukupi untuk mereka yang mencecah usia lima tahun pada tahun ini selain berkaitan dengan tarikh luput vaksin serta usaha mendapatkan ubat antiviral.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here