Home Koronavirus Kadar peratusan vaksinasi Malaysia lepasi negara jiran

Kadar peratusan vaksinasi Malaysia lepasi negara jiran

0
Kadar peratusan vaksinasi Malaysia lepasi negara jiran

GEORGE TOWN – Setakat Rabu, kadar peratusan rakyat Malaysia yang telah menjalani pemvaksinan sekurang-kurangnya satu dos telah melepasi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Walaupun ini bukan satu perlumbaan, adalah baik untuk kita sentiasa menanda aras dengan negara-negara lain. Manakala dari segi kadar suntikan harian, saya telah minta supaya ia sentiasa ditingkatkan dari hari ke hari.

“Semalam (Rabu), kita telah merekodkan 105,655 suntikan dengan kebanyakannya merupakan suntikan dos pertama,” katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE, The SPICE Arena di sini pada Khamis.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya menyasarkan untuk memberikan 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.

Beliau berkata, usaha itu akan dibantu dengan penubuhan lebih banyak PPV termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara dan melalui sistem pandu lalu.

Mengulas mengenai lawatan beliau, Khairy berkata, PPV SPICE akan beroperasi sebagai PPV AstraZeneca bermula 7 Jun dengan sebanyak 133,000 dos telah disediakan untuk pusingan pertama di negeri itu.

“Kita akan mula dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari dan akan ditingkatkan kepada 3,000 sehari pada hari bekerja dan 2,000 pada hujung minggu.

“Kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk membina PPV di kawasan industri Bayan Lepas dan Batu Kawan supaya pekerja yang terpaksa bekerja sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dapat diberikan suntikan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang perlu memberikan 9,000 hingga 10,000 suntikan vaksin setiap hari bagi mencapai matlamat imuniti kelompok menjelang Oktober ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here