KUALA LUMPUR – Kadar kematian akibat Covid-19 kembali meningkat, namun ia dilihat lebih rendah berbanding ketika negara berhadapan gelombang varian Delta, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau menerusi ciapan di Twitter pada Khamis berkata, ini sekali gus membuktikan bahawa vaksin sangat berkesan melindungi diri daripada kesan buruk Covid-19, seperti kemasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kematian.
“Mengapa CFR (kadar kematian kes) semakin turun? Sebab majoriti kes tidak serius. Walaupun jumlah kes naik mendadak, kes serius naik sedikit sahaja. Yang terkini, setiap 100,000 kes, 200 yang meninggal dunia,” katanya.
Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan (KKM), 115 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Rabu, dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 25 kes, diikuti Sabah dengan 24 kes, Selangor (18), masing-masing lapan kes di Kedah dan Negeri Sembilan dan Perak dengan tujuh kes.
Selain itu, enam kes kematian direkodkan masing-masing di Pahang dan Kuala Lumpur, Kelantan (empat), Pulau Pinang (tiga), masing-masing dua di Melaka dan Perlis serta satu kes direkodkan masing-masing, di Sarawak dan Terengganu.
Khairy yang berkongsi carta kematian per 100,000 populasi, mengikut status vaksinasi bagi tempoh 17 Februari hingga 2 Mac, yang menunjukkan kematian bagi individu berusia 80 tahun ke atas dan tidak menerima dos pengalak adalah lebih tinggi berkata, carta berkenaan jelas menunjukkan bahawa dos penggalak dapat melindungi warga emas daripada kematian akibat Covid-19.
“Sebab itu strategi kita sekarang mesti melindungi mereka yang paling berisiko tinggi seperti warga emas.
“Data kematian untuk tahun ini menunjukkan 91 peratus yang meninggal akibat Covid-19, belum ambil dos penggalak atau booster,” katanya.
Beliau berkata selain itu, jumlah kes kematian di luar hospital (BID) juga turut meningkat semula dan daripada 113 kes BID yang dianalisa bagi tempoh 5 hingga 21 Feb, hanya sembilan peratus mengetahui mereka telah dijangkiti Covid-19 manakala baki 91 peratus disahkan positif selepas meninggal dunia.
“Sangat penting bagi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang ada komorbid, serius untuk mendapatkan booster dengan segera.
“Keluarga atau komuniti juga diminta pantau keadaan kesihatan warga emas. Kalau demam atau batuk sikit pun, bawa jumpa doktor. Tolonglah,” katanya. – Bernama